Buah nanas sudah tentu menjadi kegemaran ramai kerana rasanya yang manis, masam dan menyegarkan.
Buah nanas yang mudah didapati di pasaran telah mencetuskan pelbagai idea masakan atau makanan yang berasaskan nanas.
Apa itu buah nanas? Nanas (An an as comosus) adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari Bahagian Timur Amerika Selatan.
Nanas diperkenalkan di Tanah Melayu pada abad ke 16 oleh orang-orang Portugis.
Selaras dengan perkembangan tanaman getah, nanas mula ditanam di Singapura, Johor dan Selangor pada 1921 sebagai tanaman kontan. Sejak itu, tanaman nanas terus berkembang dan diusahakan secara perladangan di kawasan tanah gambut terutamanya di Johor.
Kini Malaysia merupakan salah satu negara pengeluar utama nanas dunia selain daripada Thailand, Filipina, Indonesia, Hawaii, Ivory Coast, Kenya, Brazil, Taiwan, Australia, India dan Afrika Selatan.
Berbalik kepada topik makanan berasaskan nanas, daripada halwa nanas, kek hinggalah ke masakan campuran buah nanas, dan juga jus nanas buah ini sememangnya menjadi pelengkap di dapur kita.
Walaupun berkulit kasar dan tajam, buah nanas mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan kita.
Secara asasnya, buah tersebut mempunyai kandungan vitamin C, vitamin B, B1, B3 (niacin), karbohidrat, potassium, sodium dan enzim bromelin.
Tidak hairanlah ramai yang memilih buah nanas sebagai tambahan dalam masakan dan sebagainya.
Antara contoh masakan berasaskan nanas yang terkenal adalah seperti nasi goreng nanas seafood, acar nanas dan daging goreng nanas.
Jika dilihat lagi, terdapat juga kuih atau kek berasaskan nanas sepert Tart Nanas, Puding Nanas, Kek Coklat Nanas dan juga jem nanas untuk sapuan pada roti dan sebagainya.
Buah nanas juga boleh dijadikan sebagai juadah pencuci mulut dengan hanya dimakan begitu sahaja.
Malah ianya dapat dijadikan sebagai aiskrim nanas, Jus nanas dan halwa nanas, serta dijadikan topping kepada makanan ala barat seperti piza dan burger.
Hanya dari sebiji buah nanas, pelbagai cetusan idea masakan dan makanan dapat dilakukan.
Tidak hairanlah nanas apabila dimasukkan isi buahnya ke dalam masakan, mampu meningkatkan rasa masakan tersebut, selain membekalkan banyak nutrien kepada tubuh.
Oleh Alexandra Lorna