KUALA LUMPUR: Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sedang bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi bagi mencipta jentera serta teknologi untuk digunakan dalam sektor perladangan sawit.
Dalam sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong bagi kementerian itu, menterinya Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, penghasilan jentera baharu akan dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga asing dalam sektor berkenaan.
“Kementerian juga sedang bergerak untuk mempromosikan penanaman sawit kepada orang asal bagi menarik minat mereka untuk bekerja di ladang dan kawasan Gerik, Perak dipilih untuk dijadikan sebagai projek perintis bagi perkara itu,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-SALAK) yang ingin tahu apakah mekanisme baharu yang digunakan kerajaan dalam mengurangkan kebergantungan tenaga kerja asing.
Dalam ucapan pergulunggannya, Mohd Khairuddin berkata, sektor perladangan merupakan sektor yang berintensifkan buruh dan sangat bergantung kepada tenaga kerja asing.
Sehingga 31 Julai 2020, dianggarkan lebih kurang 500,000 pekerja terlibat dalam sektor tersebut dan perladangan sawit merupakan sub sektor yang paling bergantung kepada tenaga kerja asing iaitu sebanyak 77 peratus.
Sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek, kerajaan akan membantu untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan kekurangan tenaga kerja asing melalui pelonggaran syarat bagi program permohonan pertukaran majikan.
“Syarat baharu prosedur ini memberi kelonggaran kepada majikan yang terkesan dan tidak berkeupayaan untuk meneruskan penggajian pekerja asing untuk memindah atau menukarkan keseluruhan atau sebahagian pekerja asing mereka kepada syarikat lain yang mempunyai keperluan tenaga kerja,” katanya.
Sementara itu, menyentuh mengenai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), beliau berkata, pelaksanaan MSPO sehingga 29 Julai 2020 adalah sebanyak 99.64 peratus daripada 681,532 hektar kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh pekebun kecil tersusun (PKT).
“Ini bersamaan dengan 231,576 orang PKT di seluruh negara. Namun begitu, bagi kategori pekebun kecil persendirian (PKP) pula, hanya 24.12 peratus daripada 986,331 hektar kawasan tanaman sawit mereka yang melibatkan pembabitan 63,480 orang PKP yang telah dipersijilkan MSPO,” jelas beliau.
Kementerian akan terus menggesa pembabitan lebih ramai lagi PKP di dalam skim pensijilan MSPO sama ada melalui keanggotaan di dalam Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) atau kelompok pensijilan bebas di bawah pengurusan koperasi atau kilang buah sawit masing-masing.
“Kerajaan akan terus menanggung kos pensjilan MSPO bagi para pekebun kecil sawit,” tambahnya. – Bernama