
KUALA LUMPUR: “Malam Ini Gua Rock!” bukanlah sekadar judul tetapi gema abadi seorang legenda Datuk Dr M. Nasir, menguasai Axiata Arena Bukit Jalil dengan persembahan sarat aura, menembusi sanubari dan meninggalkan jejak memori yang sukar dipadam buat ribuan peminatnya.
Bersaksikan malam Sabtu lepas, ribuan penonton memenuhi segenap ruang, seakan dibawa pulang ke zaman emas muzik rock Melayu, apabila setiap bait lagu, tidak kiralah sama ada versi lantang mahupun puitis, menyatu bersama suara maestro tersohor ini sepanjang tiga jam persembahan bermula 9 malam.
Mendendangkan 31 lagu dengan gabungan rock yang membangkitkan semangat, persembahan itu menjadi cerminan perjalanan seni komposer serta penulis lirik tersohor dengan memadukan falsafah hidup, nostalgia dan roh rock tulen yang sememangnya telah sebati dengan dirinya sejak lebih empat dekad lepas.

Membuka kedinginan malam itu dengan kehangatan rantaian persembahan lagu medley, Isi Atau Kulit, Musnah dan Jerangkung Dalam Almari sebelum diteruskan dengan karya epik, Pembakar Perasaan dan Opera Hidup, pentas dikuasai dengan kelunakan pemilik suara emas ini yang terus galau memukau peminatnya.
Hakikatnya ia bukanlah sekadar persembahan biasa, akan tetapi sorakan dan iringan nyanyian peminatnya yang menggetarkan segenap ruang dewan, menjadi saksi kepada kehebatan penyanyi anak kelahiran Singapura ini yang sememangnya masih lagi utuh di puncak seni biarpun sudah berusia 68 tahun.
“Konsert Cipta 3 ini adalah satu kecintaan untuk memberi penghormatan kepada kumpulan-kumpulan rock atau mereka yang pernah menyampaikan lagu-lagu saya. Saya memang dah rock sejak awal lagi.
“Jadi saya anggap ini peluang dan anugerah mengekspresikan diri secara rock dalam konsert besar seperti ini,” katanya pada sidang media selepas konsert sambil menambah durasi membakar adrenalin peminatnya kali ini terpaksa dipendekkan kepada tiga jam, menyebabkan 10 lagu tidak sempat disampaikan.
Tampil dengan gaya santai, imej yang sinonim dengan suami kepada Marlia Musa serta tidak terlalu rockers sepertimana yang digambarkan dalam poster promosi konsertnya, M. Nasir menyusuri peminatnya dengan pelbagai genre rock, daripada balada Laila Namamu Teratas dan Srikandi Cintaku.

Sehinggalah kepada rangkaian bernuansa puitis seperti Pertama Dan Selamanya, Rendang Tak Berbuah dan Mahligai Syahdu bahkan emosi peminatnya kian menggoncang sebaik pencipta lagu, pelukis dan pelakon ini mendendangkan Di Jalan Sesat, Aku Dah Bosan, Hipokrasi, Cinta Sepi dan Gemuruh.
Nostalgia terus meragut jiwa malam itu sebaik maestro muzik ini menjejaki kembali kenangannya bersama kumpulan yang pernah menjadi ikonik dan fenomena 80-an, Kembara, dengan kehangatan lagu Impian Seorang Nelayan diikuti medley, Perjuangan, Hati Emas, Gerhana dan Duit Duit.
Masa terus menghambat dan tanpa disedari, tirai konsert akhirnya dilabuhkan dengan penuh simbolik menerusi Apokalips dan Pawana, digubah dalam versi koplo (dangdut rock Indonesia) yang membarakan lagi suasana dengan ribuan peminat berdiri, bergoyang bersorak seakan enggan malam itu berakhir.
Sementelah lagi, suara dan semangat seniman legenda ini kekal utuh tatkala usianya menghampiri tujuh dekad apabila masih mampu menghiburkan sanubari peminatnya dengan nada asal lagu, sesuatu yang hakikatnya jarang sekali dapat dilakukan oleh penyanyi sebaya.
“Saya bersyukur kerana masih boleh menyanyikan lagu-lagu saya dalam nada asal. Itu hasil penjagaan diri dengan pemakanan dan latihan.
“Ramai kawan-kawan seusia saya, sudah tidak mampu lagi menyampaikan lagu mereka dengan baik kerana hidup penuh struggle (kurang peluang menjaga kesihatan dan diri). Jadi, saya kira beruntung masih dapat menyanyi pada tahap ini,” katanya.
Biarpun begitu, penyanyi legenda ini mengakui turut berhadapan dengan cabaran mendendangkan beberapa lagu ciptaan asalnya untuk penyanyi lain seperti Gemuruh kerana menuntut julat vokal yang tinggi, bagaimanapun cuba disampaikannya dengan baik dan bertenaga.
Mungkin ada beranggapan konsert Cipta 3: Malam Ini Gua Rock adalah penamatnya selepas siri konsert sebelum ini, Cipta 1 diikuti Cipta 2 dan Cipta Raya, namun M. Nasir menegaskan legasi perjalanan seninya belum lagi berakhir.
“Cipta 3 bukan penamat. Selagi saya sihat walafiat, selagi ada peminat setia dan sokongan media, kita akan teruskan. Yang penting adalah konsep, bukan sekadar buat show,” ujarnya yang pastinya akan menjadi penantian penuh makna bagi peminatnya yang tentunya ingin menyaksikan magis seterusnya seniman legenda ini.
-BERNAMA