

TELEFON Shahril sepi tanpa sebarang pemberitahuan. Sudah tiga hari ditinggalkan di atas meja tanpa disentuh. Tidak seperti hari-hari sebelumnya. Sebelum dia bertapak di dunia yang jauh daripada cengkaman arus kemodenan.
Mentari tergelincir sedikit dari ufuk langit. Pukul 1.00 tengah hari. Kedengaran bunyi loceng digoncangkan secara manual dengan penuh semangat oleh guru bertugas. Menunjukkan tamatnya waktu persekolahan. Bukannya tiada loceng yang berdering secara automatik, namun tidak dapat berfungsi dek kerana enjin generator yang terpaksa dicatu penggunaannya bagi menjaga jangka hayat enjin tersebut. Shahril berjalan perlahan ke arah rumah kuarters yang dibina secara gotong-royong oleh penduduk kampung di situ. Kuarters kerajaan yang sedia ada tidak cukup untuk menampung bilangan guru yang ditempatkan di sekolah ini.
Pintu ditolak perlahan dengan saki-baki kudrat yang ada. Pandangan Shahril seperti berpinar-pinar. Namun, bukan disebabkan kepeningan tetapi berpunca daripada wap haba-haba panas yang berkuap di dalam rumahnya dek cuaca panas yang melanda. Seperti fatamorgana di tengah-tengah gurun Sahara. Inilah situasi biasa yang sering berlaku di sini. Tempat Shahril menabur bakti sebagai pendidik. Tempat Shahril berusaha demi sesuap nasi. Tempat Shahril mempraktikkan segala ilmu yang dihadam sepanjang lima tahun bergelar siswa di institut perguruan.
“Mat, kau dapat sekolah mana tu?” tanya Shahril kepada rakan sepengajiannya, yang juga sahabat karibnya. Mereka telah berjanji untuk bertemu di sebuah gerai mamak yang terletak di pinggir bandar raya Kuching.
“ Aku ditempatkan di Kapit, Shah. Kau pula ditempatkan di mana?” tanya Samad lalu menghirup air kopi ais yang baru dihantar oleh pekerja di kedai mamak. Menu yang sentiasa dipesan setiap kali meletakkan punggung di kerusi kedai mamak ini.
“ Aku ditempatkan di Baram ni. Dekat hutan manalah aku kena humban ni,” keluh Shahril.
Dia merasakan bahawa ditempatkan di pedalaman merupakan satu beban buatnya. Tambahan pula, sepanjang hidupnya dia hanya menetap di bandar sahaja. Bandar yang serba-serbi cukup.
“Aku mesej kawan aku tadi Shah. Tanya tentang sekolah kau ni. Dia kata, kalau tak silap nak ke sekolah kau, kena naik bot ekspres selama enam jam. Kalau guna jalan darat, boleh makan masa tiga jam. Itu pun jalannya macam permukaan bulan,” Samad tertawa semasa menghabiskan ayat terakhirnya itu.
“Tak apalah, Mad. Aku anggap saja ini cabaran untuk aku kenal erti hidup ini. Lagipun kita memang tertunggu-tunggu keputusan penempatan kita ini. Maklumlah sudah enam bulan kita tanam anggur,” tekad Shahril.
“Cikgu, sampah cikgu!”
Lamunan Shahril tentang peristiwa setahun yang lalu retak berkecai setelah mendengar jeritan murid di luar rumah. Lantas Shahril ke dapur untuk mengambil plastik hitam yang penuh dengan sampah. Diikatnya kemas agar tidak terkeluar sampah tersebut. Sampah berisi bahan basahan dapur perlu disingkirkan segera daripada rumah dengan pantas kerana mampu menghasilkan bau yang kurang enak di seluruh rumah.
“Cikgu, sampah cikgu!”
“Sekejap, sekejap. Cikgu datanglah ni,” sahut Shahril.
Pintu rumah Shahril sudah sedia ada terbuka. Jika dibiarkan bertutup, haba-haba panas yang terkumpul di dalam rumah pasti akan menyiat-nyiat kulit isi rumah itu.
“Kamu rupanya, Alex. Nah, ambil sampah ini. Terima kasih.”
“Sama-sama cikgu. Esok saya ambil lagi sampah di rumah cikgu,” balas Alex dengan riang.
“Eh, tak perlulah hari-hari. Hari ini baru sahaja hari Selasa. Nanti kamu datang semula pada hari Khamis untuk ambil sampah.”
Begitulah ragam murid-murid di sini. Sejak bertahun lama Shahril di sini, tidak pernah sekali pun dapur rumahnya mengeluarkan bau tidak menyenangkan disebabkan sampah daripada barang basah dapurnya. Kebanyakan anak murid ringan tulang membantu guru-guru di sini. Tanpa dipinta. Tanpa perlukan balasan.
Kuarters guru ini terletak bersebelahan dengan perkampungan orang Penan. Hanya beberapa langkah sahaja dari kuarters, sudah kelihatan rumah panjang tersebut. Hanya dipisahkan dengan pagar dawai berwarna hijau yang menjadi perimeter di sekeliling sekolah. Oleh sebab itu, mudahlah untuk murid-murid ini datang ke sekolah pada setiap petang untuk membantu guru-guru di sini.
Terngiang-ngiang ucapan “Cikgu, sampah cikgu!” yang sering menjadi sebutan murid-murid di sini setiap kali terpacak di harapan rumah guru. Tersengih sendirian Shahril. Sepertinya menyumpah guru itu menjadi sampah. Pada mulanya, Shahril berasa hairan dengan ucapan tersebut. Sudah banyak kali dia memperbetulkan anak muridnya itu, namun disebabkan sudah terbiasa, mereka akan mengulanginya semula pada hari berikutnya.
Bukannya Shahril tidak mampu untuk membuang sendiri sampah-sampah tersebut. Tempat pembuangan sampah itu letaknya tidak jauh dari kuarters kediamannya ini. Hanya perlu berjalan seminit dua sahaja. Jika sambil berjalan itu dia menyanyikan lagu, rasanya hanya sempat menyanyikan tiga rangkap daripada lirik lagunya.
Malam hujung minggu di pedalaman ini tidak seperti meriahnya di kota raya. Bertemankan suara cengkerik yang berlawan sahutannya dengan katak. Dimeriahkan dengan suara kucing yang bertegas merebut kawasan dan pasangan masing-masing. Terdengar juga suara nyanyian karaoke daripada rumah panjang yang terletak berhampiran kawasan sekolah ini. Kadang-kadang merdu, kadang-kadang sumbang. Ada kalanya lagu sedih, sesekali lagu penuh kegembiraan. Bergantung kepada siapa yang menyanyikannya.
Shahril mengambil alat kawalan jauh. Setiap malam minggu, dia akan menonton rancangan perlumbaan kereta yang melibatkan 20 orang pemandu berserta kereta yang sangat canggih dan laju.
Sambil menonton, dia menghirup air coklat panas yang sempat dibelinya semasa ke bandar pagi tadi. Hanya itu sahaja di atas meja kopinya. Tidak ada longgokan buku-buku latihan seperti yang sering dilihat dalam drama-drama televisyen. Bagi Shahril, kerja sekolah perlu disiapkan di sekolah. Di tempat kerja. Rumah ialah tempat untuk berehat dan bersantai. Bahkan itulah juga pesanan yang disampaikan oleh guru besarnya setiap kali mesyuarat sekolah. Bukan apa, sebenarnya untuk mengurangkan tekanan dan stres dalam kalangan guru-guru yang semua ambil maklum, merupakan antara golongan yang sentiasa dilaporkan mengalami tekanan mental dan perasaan.
Perlumbaan bermula. Adegan pecut-memecut disajikan di kaca televisyen. Shahril berbaring santai di kerusi ruang tamu kuarters itu. Rakan serumahnya, Razi, tidak meminati sukan permotoran ini. Jika ada perlawanan bola sepak, barulah Razi akan menjadi penemannya. Katanya, melihat kereta berlumba sangat membosankan. Mungkin saat ini Razi sudah mula menyiapkan diri untuk tidur dan bersedia untuk bekerja keesokan harinya.
“Shahril! Razi!”
“Shahril! Razi!”
“Shahril! Razi!”
Shahril terjaga dari lenanya. Tersentak apabila mendengar panggilan keras di luar rumah. Skrin televisyen masih lagi menunjukkan sambutan kemenangan pelumba kegemarannya.
“Oh, aku tertidur rupanya” getus hatinya.
“Shahril! Razi!” jeritan itu bergema lagi.
Shahril mendongak ke arah jam dinding di rumahnya. Pukul 2 pagi. Dia segera membuka pintu rumahnya. Dia kenal sangat dengan suara yang memanggilnya itu. Itulah suara jiran sebelah kuartersnya itu.
“Cikgu Salma, ada apa yang cemas sangat lewat malam ini?” tanya Shahril yang masih dalam kebingungan.
“ Tu… tengok tu. Rumah panjang sebelah tu sedang terbakar. Sampai ke langit dah api tu!” cerita Cikgu Salma dengan penuh perasaan.
“Akak gerak semua orang di kuarters ini supaya boleh bersedia dengan apa yang berlaku sekarang. Manalah tahu, api yang marak ini boleh menjilat rumah-rumah dan bangunan sekolah ini. Bolehlah kita selamatkan apa-apa yang perlu,” katanya lagi.
Melopong mulut Shahril dan Razi melihat api yang marak membakar itu. Terasa bahang haba api tersebut menampar-nampar wajah mereka yang masih terpinga-pinga dek diganggu tidur enak mereka.
Rumah panjang tersebut nampaknya tidak dapat diselamatkan daripada jilatan api yang mengganas itu. Strukturnya yang diperbuat daripada kayu, memudahkan tugas api untuk menelan segala isi rumah panjang itu. Namun, ada juga beberapa orang penduduk rumah panjang itu cuba untuk memadam api tersebut. Terdengar jeritan bergema di segenap kawasan itu. Ada ibu yang sedang mencari-cari anaknya, ada anak-anak kecil yang menangis kegelisahan, ada juga yang masih terpinga-pinga tidak mampu menerima hakikat yang berlaku.
Dalam kekecohan itu, Shahril sempat melihat satu susuk tubuh yang sangat dikenalinya. Dia melihat Alex yang sedang kebingungan sedang berjalan mundar-mandir di selelah parit yang memisahkan kawasan rumah panjang dengan kawasan sekolah. Shahril ditemani Razi segera mendekati Alex.
“Cikgu tumpang bersedih dengan apa yang berlaku pada kamu, Alex,” ucap Shahril bagi mengurangkan galau yang menyelubungi perasaan Alex tika ini.
“Cikgu, ibu dan bapa saya terperangkap di dalam rumah itu. Sampai sekarang masih belum keluar lagi. Semasa kejadian, mereka berdua sempat menyelamatkan kami adik-beradik. Tapi…” kata-katanya terhenti bersama esakan tangisan.
“Tapi, selepas kami semua berjaya keluar melepasi pintu depan, tiba-tiba ada tiang runtuh dan menghalang laluan pintu. Mereka tak dapat keluar, cikgu.
“Shahril menggenggam bahu Alex, cuba memberikan ketenangan di saat yang penuh kesedihan. Api masih menjulang tinggi, menyapu seluruh rumah panjang yang menjadi tempat berteduh Alex dan keluarganya selama ini. Jeritan dan tangisan masih bergema di sekitar kawasan kejadian, namun dalam kekalutan itu, Alex hanya berdiri kaku, matanya kosong, dan air mata mengalir perlahan di pipinya.
Shahril tidak mampu berkata apa-apa lagi. Dia hanya mampu menemani Alex yang terduduk di tepi parit, tangannya mencengkam tanah dengan kuat. Beberapa penduduk kampung mula berpelukan sesama sendiri, cuba menguatkan hati menghadapi kehilangan yang begitu besar.
Berita tentang ibu dan bapa Alex yang tidak dapat diselamatkan tersebar dengan pantas. Walaupun penduduk kampung telah berusaha sebaik mungkin, takdir telah menentukan segalanya. Razi dan beberapa guru lain cuba membantu menguruskan keperluan mangsa yang kehilangan tempat tinggal. Ada yang membawa selimut, ada yang menyediakan makanan, dan ada yang hanya mampu duduk diam, merenung sayu rumah panjang yang kini hanya tinggal bara dan abu.
Hari berganti-hari, bulan berganti bulan. Sejak kejadian yang mengorbankan kedua ibu bapanya itu, Alex kelihatan semakin pendiam. Dia tidak lagi seceria dahulu, tidak lagi datang ke kuarters guru dengan jeritan, “Cikgu, sampah cikgu!” yang pernah membuatkan Shahril tersenyum sendirian. Sesi persekolahan berjalan seperti biasa, namun jiwa Alex kelihatan sangat kosong.
Shahril mengambil keputusan untuk lebih mendekati Alex. Kebetulan, dia juga merupakan guru kelas Alex. Dia sering mengajak Alex berbual, memberikan perhatian lebih di dalam kelas, dan memastikan Alex tidak merasa keseorangan. Kadangkala, dia hanya duduk di sebelah Alex tanpa berkata apa-apa. Cukuplah sekadar menunjukkan bahawa dia ada di situ.
Sedikit demi sedikit, Alex mula menunjukkan perubahan. Walaupun kesedihannya masih terpancar, dia semakin rajin belajar. Dia sering berada di perpustakaan kecil yang terletak di hujung bangunan sekolah, membaca buku-buku yang sebelum ini tidak pernah disentuhnya. Shahril perasan, Alex kini lebih tekun dalam setiap kerja sekolah yang diberikan.
“Cikgu, saya nak jadi pegawai bomba satu hari nanti,” kata Alex pada suatu petang ketika mereka berdua duduk di tangga kuarters. Kata-kata itu mengejutkan Shahril.
“Oh! Kenapa tiba-tiba nak jadi pegawai bomba?” tanya Shahril, kehairanan.
Alex terdiam seketika. Matanya memandang jauh ke arah sisa rumah panjang yang kini hanya tinggal rangka terbakar.
“Saya tak mahu orang lain kehilangan keluarga macam saya. Kalau saya jadi pegawai bomba, saya boleh tolong ramai orang. Mungkin… mungkin dengan kemahiran dan kepakaran yang saya ada, ibu dan bapa saya masih ada lagi,” suaranya sedikit bergetar mengungkapkan cita-cita murninya.
Shahril menarik nafas dalam. Dia menepuk bahu Alex perlahan, bangga dengan semangat yang mula menyala dalam diri anak muridnya itu. “Kalau begitu, cikgu akan tolong kamu capai impian itu. Kamu boleh lakukannya, Alex. Cikgu yakin.”
Malam itu, buat pertama kalinya selepas sekian lama, Shahril merenung telefon bimbitnya yang terbiar di atas meja. Skrinnya masih sepi tanpa sebarang pemberitahuan, tetapi dia tidak lagi kisah. Kehadirannya di sini bukan lagi sekadar satu beban, tetapi satu peluang untuk mengubah kehidupan seseorang.
Dengan semangat membara di jiwanya, dia meletakkan telefon itu kembali di meja dan mengalihkan pandangan ke luar jendela, melihat langit yang bertaburan bintang. Hatinya terasa lapang. Di sini, di tempat yang jauh dari hiruk-pikuk bandar, dia telah menemui sesuatu yang lebih berharga daripada segala yang pernah ditinggalkannya. Makna sebenar sebuah kehidupan.
Oleh Raja Nazran Shah