Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • CIDB tambah tujuh makmal satelit BIM tahun depan – Ahmad Maslan
  • NASIONAL

CIDB tambah tujuh makmal satelit BIM tahun depan – Ahmad Maslan

Utusan Sarawak 11 hours ago
TIMBALAN Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan menyempurnakan gimik perasmian 11th CIDB CIOB Youth Arena Convention Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen CIDB hari ini. Turut sama Ketua Eksekutif CIDB Malaysia Zainora Zainal (tiga, kiri) dan Presiden CIOB Malaysia Loi Yew Hua (dua, kiri). Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bercadang menambah tujuh makmal satelit Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) di seluruh negara tahun depan bagi memperluas akses latihan kepada kontraktor tempatan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata ketika ini, makmal berkenaan hanya terdapat di Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak.

“Penambahan ini merupakan inisiatif CIDB dan bukan daripada kementerian. Ia akan dilengkapi kemudahan komputer serta perisian BIM yang boleh digunakan oleh pemain industri pembinaan, termasuk kontraktor tempatan.

“Bagaimanapun, penyediaan makmal itu turut mengambil kira kutipan levi dan keperluan projek di setiap negeri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Arena Belia CIDB-CIOB ke-11 Malaysia 2025 di sini, hari ini.

TIMBALAN Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan bergambar bersama para peserta pada Majlis Perasmian 11th CIDB CIOB Youth Arena Convention Malaysia 2025 di Pusat Konvensyen CIDB hari ini. Foto BERNAMA

Beliau berkata di bawah program BIM, peserta akan menerima pelbagai latihan dengan sijil diiktiraf pihak dalam dan luar negara.

Ahmad turut menggesa pelajar serta tenaga pengajar dalam bidang alam bina agar memperkukuh ilmu berkaitan pendigitalan sektor pembinaan supaya tidak ketinggalan dengan perubahan teknologi.

Katanya pendigitalan itu merangkumi penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), digital twins, automasi robotik dan common data environment (CDE).

“Semua ini penting kerana industri pembinaan terus berkembang seiring dengan Dasar Pembinaan Negara 2030 yang menekankan penggunaan teknologi pintar,” katanya.

Sementara itu, mengulas kejadian tanah runtuh di Balik Pulau, Pulau Pinang baru-baru ini, Ahmad berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengarahkan jurutera daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang dan Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR di Kuala Lumpur supaya segera mengambil tindakan susulan.

Katanya kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan namun jalan berkenaan masih ditutup berikutan risiko tanah runtuh berulang.

“Kita dapati kawasan itu masih berisiko, jadi jalan tersebut belum dibuka sehingga hari ini. Pemantauan dan kerja pencegahan turut dilaksanakan di cerun-cerun berbahaya lain kerana terdapat kira-kira 3,000 kawasan cerun berisiko tinggi di seluruh negara,” katanya.- Bernama

Continue Reading

Previous: Sarawak bakal gubal undang-undang urus sisa sawit bagi perkasa industri veterinar – Premier
Next: Azam dan AYS perkukuh semangat perpaduan di Lan Berambeh Anak Sarawak 2025

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.