
LOS ANGELES: Pertandingan haiwan yang paling dinanti-nantikan di Amerika telah berakhir dengan kemenangan Chunk sebagai juara Fat Bear Week tahun ini.
Binatang besar itu mengunyah ribuan kilogram (paun) salmon di Taman Negara Katmai, Alaska untuk dipilih sebagai beruang paling gemuk dalam pertandingan santai yang menonjolkan persiapan haiwan itu menghadapi tempoh berhibernasi selama beberapa bulan.
Beruang tersebut yang langsung tidak tahu dia sedang bertanding mengalahkan cabaran sengit daripada juara dua kali, Grazer, sekali gus menggagalkan usaha Grazer untuk meraih kemenangan tiga kali berturut-turut yang juga tidak disedarinya.
Ratusan ribu undian telah dibuat oleh orang di seluruh dunia yang membandingkan gambar sebelum dan selepas haiwan itu dalam siri undian secara berhadapan.
Pertandingan ini bermula pada 2014 dengan tujuan meningkatkan kesedaran mengenai beruang perang dan habitat mereka di Alaska, serta risiko yang mereka hadapi akibat aktiviti manusia.
Sekitar 2,000 ekor beruang di taman tersebut mula menggemukkan badan pada lewat musim panas dan awal musim luruh.
Mereka boleh makan sehingga 100 paun (45 kilogram) salmon sehari sebagai persiapan untuk berhibernasi selama lima bulan.
Semasa berhibernasi, beruang ini jarang sekali bangun untuk makan, minum, atau ke tandas. Mereka akan terjaga daripada tidur yang panjang dalam keadaan sangat lapar dan jauh lebih kurus apabila tiba musim bunga.
Beruang perang di Taman Negara Katmai, Alaska tanpa disedari bersaing untuk dinobatkan sebagai makhluk paling gemuk dalam pertandingan tahunan Fat Bear Week. – AFP