
KUCHING: Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen berkata kumpulan pertama mangsa penipuan pelaburan oleh beberapa kakitangan Bank Simpanan Nasional (BSN) yang tidak bertanggungjawab telah menerima bayaran balik penuh daripada BSN.
Antara penerima bayaran balik ialah Dr Alex dan isterinya yang masing masing menerima RM200,000, manakala adik perempuannya turut menerima bayaran balik sebanyak RM300,000.
“Hari ini, Dr Alex dan isterinya telah datang ke pejabat saya untuk menyatakan penghargaan dan terima kasih atas bantuan yang diberikan bagi membantu mereka mendapatkan bayaran balik daripada BSN. Mereka juga membawa kek Krismas sempena sambutan Krismas yang bakal tiba,” katanya.
Chong berkata beliau berasa lega kerana BSN telah mempercepatkan proses bayaran balik, sambil menjelaskan bahawa proses tersebut akan dilaksanakan secara berperingkat memandangkan jumlah mangsa yang ramai dan setiap kes mempunyai fakta yang berbeza.
“Oleh kerana terdapat ramai mangsa dan setiap kes mempunyai keadaan yang berlainan, bayaran balik akan dilakukan secara berperingkat,” katanya.
Beliau menambah bahawa beliau bersama pembantunya, Michael Kong, akan terus memantau perkembangan perkara ini bagi memastikan semua mangsa yang membuat aduan melalui pejabatnya menerima bayaran balik masing-masing daripada BSN.
Oleh Connie Chieng