KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan, Chong Chieng Jen memutuskan untuk memohon kebenaran merayu ke Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes fitnah ‘lubang hitam’ (Black Hole), dengan menyatakan isu berkenaan melibatkan kepentingan awam yang lebih besar berbanding jumlah ganti rugi dan kos yang dikenakan terhadapnya.
Chong berkata Mahkamah Rayuan telah mengarahkannya membayar RM300,000 sebagai ganti rugi dan RM200,000 sebagai kos, namun beliau menegaskan rayuan itu dibuat kerana percaya keputusan tersebut menyentuh isu penting berkaitan demokrasi dan kepentingan awam.
Beliau berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu pada dasarnya membenarkan kerajaan di Malaysia menyaman rakyatnya atas dakwaan fitnah, sesuatu yang menurutnya bercanggah dengan prinsip undang-undang am yang diamalkan di kebanyakan negara Komanwel
Menurut Chong, mahkamah di England, Kanada, Australia, New Zealand, India dan Afrika Selatan secara konsisten memutuskan bahawa kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyaman rakyat atas fitnah kerana kerajaan yang dipilih rakyat perlu terbuka kepada kritikan dalam sebuah masyarakat demokratik.
Katanya, membenarkan kerajaan menyaman rakyat atas fitnah boleh memberi kesan yang menghalang kebebasan bersuara serta menyekat rakyat daripada mengkritik kerajaan.
Chong turut berkata, setakat pengetahuannya, kes ‘lubang hitam’ merupakan satu-satunya kes dalam bidang kuasa negara-negara Komanwel yang memutuskan bahawa kerajaan boleh menyaman rakyatnya atas fitnah.
Beliau berkata, duluan yang diwujudkan melalui kes itu berpotensi menyebabkan rakyat disaman sekiranya mereka mengkritik kerajaan sebagai ‘tidak layak mentadbir’ atau ‘kerajaan yang gagal’.
“Sebagai seorang rakyat yang percaya kepada prinsip asas demokrasi, saya telah memutuskan untuk membawa perkara ini ke mahkamah tertinggi negara dengan harapan kedudukan undang-undang ini dapat diperbetulkan,” katanya.
Beliau menambah bahawa peguamnya akan memfailkan dokumen yang diperlukan di Mahkamah Persekutuan hari ini bagi mendapatkan kebenaran untuk merayu.
Oleh Connie Chieng





