
TOKYO: Kerajaan Jepun pada Jumaat memaklumkan bahawa China telah bersetuju untuk memulakan prosedur bagi menyambung semula import makanan laut dari Jepun, sekali gus menamatkan larangan yang dikenakan susulan pelepasan air sisa radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima yang musnah ke laut.
Menurut agensi berita Kyodo yang memetik sumber yang biasa dengan perkara itu, pihak berkuasa China dijangka mengeluarkan notis awam untuk melonggarkan larangan menyeluruh yang berkuat kuasa sejak Ogos 2023 dan akan membuka pendaftaran bagi kemudahan Jepun yang memproses dan memelihara hasil laut dalam masa terdekat.
Bagaimanapun, penghantaran makanan laut Jepun ke China dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk bermula kerana proses pendaftaran perlu diselesaikan dan produk berkenaan mesti melepasi pemeriksaan radiasi, menurut sumber.
Selain itu, sekatan ke atas import makanan dari 10 wilayah Jepun, termasuk Fukushima yang dikenakan selepas gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011 yang mencetuskan bencana nuklear, bagaimanapun masih kekal, menurut sumber itu.
Pada September tahun lepas, kedua-dua kerajaan bersetuju untuk menyambung semula perdagangan makanan laut secara berperingkat dengan syarat negara pihak ketiga memantau pelepasan air dari loji nuklear berkenaan. China sebelum ini membantah keras pelepasan itu, dengan alasan potensi risiko terhadap kesihatan manusia dan alam sekitar.
Susulan persetujuan itu, China telah mengumpul sampel marin berhampiran loji Fukushima di bawah rangka kerja Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan tidak menemukan kepekatan bahan radioaktif yang luar biasa, menurut Kyodo.– Bernama-Kyodo