KEDUDUKAN serpihan roket yang melepas Bandar Kuching di Sarawak awal pagi semalam.
WASHINGTON: Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) mendakwa China tidak berkongsi maklumat berhubung pemacu roket milik negara itu yang dilaporkan dijatuhkan semula ke bumi di Lautan Hindi, semalam.
Menurut NASA, Beijing dilihat menyembunyikan fakta mengenai trajektori khusus yang diperlukan untuk mengetahui yang mana kemungkinan serpihan itu jatuh, bagi mengelakkan ia menimpa kawasan berpenduduk.
Menurut Komando Angkasa Amerika Syarikat (AS) di Twitter, roket Long March 5B memasuki Lautan Hindi pada jam 12.45 tengah hari (1645 GMT) sekali gus mempersoalkan kenapa aspek teknikal seperti lokasi bagi kesan penyebaran serpihan tidak dikongsi oleh China.
Pentadbir NASA, Bill Nelson, berkata semua negara peneroka angkasa harus mengikuti amalan terbaik yang sudah ditetapkan selain melaksanakan tanggungjawab mereka untuk berkongsi maklumat itu lebih awal.
Ini bagi membolehkan ramalan yang boleh dipercayai mengenai potensi risiko kesan serpihan supaya nyawa orang awam tidak terancam.
“Tindakan ini adalah penting bagi memastikan keghairahan berlumba meneroka angkasa lepas tidak mengabaikan aspek keselamatan orang di bumi,” katanya.
Tambah beliau, NASA boleh mengesahkan serpihan pemacu roket Long March 5B (CZ-5B) milik China memasuki ruang udara Lautan Hindi, yang mana lokasi sebenar ia terhempas disahkan di kawasan perairan Laut Sulu.
Agensi angkasa lepas China, dalam kenyataan rasmi di WeChat , mengesahkan koordinat ia terhempas di Laut Sulu, kira-kira 57 kilometer (km) di luar pesisir pantai Pulau Palawan di Filipina.
Perkara itu turut disahkan agensi angkasa lepas Malaysia, yang mengesan serpihan roket itu memasuki ruang udara sebelum terhempas di Laut Sulu.
Malah, pengguna media sosial di Malaysia turut menyiarkan video yang kelihatan seperti serpihan roket yang jatuh di Lautan Hindi.
Nelson berkata, AS dan kebanyakan negara yang ‘terbabit’ dalam penerokaan angkasa lepas biasanya menggunakan perbelanjaan tambahan untuk reka bentuk roket bagi mengelakkan kemasukan semula yang besar dan tidak terkawal.
Katanya, ia satu kemestian yang diperhatikan sejak sebahagian besar stesen angkasa NASA Skylab jatuh dari orbit pada 1979 dan mendarat di Australia.
Menurut pusat penyelidikan Aerospace Corp, yang dibiayai kerajaan, tindakan membenarkan keseluruhan peringkat teras utama pemacu roket seberat 22.5 tan itu untuk ‘kembali’ ke bumi tanpa kawalan adalah suatu perbuatan bersifat melulu.
Terdahulu pada minggu ini, penganalisis berkata badan roket itu akan hancur apabila ia menjunam melalui atmosfera tetapi kerana saiznya yang cukup besar, ia mampu ‘menyelamatkan’ banyak serpihan sehingga menimpa kawasan sepanjang kira-kira 2,000 kilometer (km) dan selebar kira-kira 70km.
Sementara itu, pihak Kedutaan China di Washington belum memberi sebarang komen, walaupun pada awal minggu ini, China berjanji akan menjejaki serpihan dengan teliti tetapi tetap menegaskan wujud risiko kepada sesiapa saja yang berada di permukaan bumi.
Long March 5B dilancarkan pada 24 Julai lalu bagi misi penghantaran modul makmal ke stesen angkasa lepas China yang baharu dalam pembinaan di orbit, sekali gus menyaksikan penerbangan ketiga roket paling berkuasa China sejak pelancaran sulungnya pada 2020.
Sebelum ini, serpihan roket Long March 5B China yang mendarat di Ivory Coast pada 2020 menyebabkan kerosakan beberapa bangunan di negara Afrika Barat itu, walaupun tiada kecederaan dilaporkan.
Pada tahun lalu juga, NASA dan beberapa pihak lain telah menuduh China sebagai sukar difahami selepas kerajaan Beijing mendiamkan diri mengenai anggaran trajektori serpihan atau potensi ruang kemasukan semula penerbangan roket Long March terakhirnya pada Mei 2021.
Bagaimanapun, serpihan dari penerbangan itu akhirnya mendarat dalam keadaan selamat di Lautan Hindi.-AFP