BEIJING: China dijangka akan mempercepatkan usaha membina pangkalan pertama di bulan dengan melancarkan eksperimen di angkasa bagi menguji sama ada batu bata di stesen terbabit mampu dihasilkan daripada tanah di bulan.
Sampel batu bata itu akan dilancarkan bersama roket kargo yang menuju ke stesen angkasa Tiangong milik China, sebagai sebahagian daripada misi negara republik itu untuk menghantar manusia ke Bulan menjelang 2030 dan membina pangkalan tetap di planet itu menjelang 2035.
Profesor di Universiti Sains dan Teknologi Huazhong, Wuhan, Zhou Cheng, berkata usaha itu adalah tugas yang mencabar kerana sebarang struktur perlu menahan jumlah radiasi kosmik yang besar, variasi suhu yang ekstrem serta gempa bulan dan penghantaran bahan binaan ke bulan adalah satu prosedur yang sangat mahal.
“Membina pangkalan dengan menggunakan bahan daripada bulan sendiri mungkin menjadi penyelesaian kepada masalah itu.
“Satu siri prototaip batu-bata dicipta terdiri daripada pelbagai komposisi bahan yang terdapat di bumi, seperti basalt yang meniru sifat tanah bulan.
“Kepingan kecil batu-bata ujian itu akan melalui satu siri ujian ketat sebaik sahaja sampai di stesen angkasa Tiangong.
“Secara ringkasnya, bahan berkenaan diletakkan di angkasa dan membiarkannya di sana untuk melihat sama ada ketahanan dan prestasinya akan terjejas di bawah persekitaran yang ekstrem,” katanya.
Dalam pada itu, suhu di bulan boleh berubah dengan ketara antara 180 hingga hingga 190 darjah Celsius.
Ketiadaan atmosfera menyebabkan bulan terdedah kepada jumlah radiasi kosmik yang tinggi serta mikrometeorit, manakala gempa bulan boleh melemahkan sebarang struktur di permukaannya.
Eksperimen pendedahan itu akan dilaksanakan selama tiga tahun dengan sampel dihantar pulang untuk ujian setiap tahun. – AFP