
BEIJING: Tahun ini menandakan ulang tahun ke-25 Forum Kerjasama China-Afrika, yang disifatkan sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh hubungan bilateral.
China menyatakan komitmen untuk terus memanfaatkan momentum itu dengan mempergiat pelaksanaan persepakatan yang dicapai oleh para pemimpin kedua-dua pihak, menyasarkan pembangunan berkualiti menerusi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), melaksanakan projek-projek ikonik di bawah kerangka Inisiatif Pembangunan Global (GDI), serta membantu rakyat Afrika meningkatkan kerelevanan dan penyertaan dalam usaha memperjuangkan matlamat modenisasi.
Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Luar China, Wang Yi ketika bertemu dengan duta besar dan kuasa usaha sementara dari lebih 50 buah negara Afrika serta wakil Kesatuan Afrika (AU) di sini pada Isnin, sempena sambutan ‘Hari Afrika’.
“Kami sentiasa menyokong pendirian adil negara-negara Afrika, mengambil langkah ikhlas untuk membantu negara Afrika memperbaiki layanan yang tidak adil yang dialami benua berkenaan dalam sejarah silam, dan menyokong peranan yang lebih besar dimainkan Afrika dalam masyarakat antarabangsa,” kata Wang.
Dalam pertemuan itu, para duta Afrika menyatakan rasa teruja terhadap dasar-dasar yang diketengahkan oleh Presiden China Xi Jinping, khususnya siri inisiatif global dan ‘misi sepuluh rakan’ untuk Afrika.
Mereka menyuarakan keyakinan terhadap kerjasama terbabit dan bersedia memperkukuh pembentukan komuniti berkongsi nasib China-Afrika yang berkekalan dalam era baharu.
“Afrika konsisten mempertahankan prinsip Satu China, menyokong segala usaha China dalam mempertahankan kedaulatan dan penyatuan tanah air, menentang campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal dalaman China, serta aktif mempertahankan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menjaga kepentingan bersama negara-negara Selatan Global,” kata duta-duta berkenaan.– Bernama-CMG