China keluar amaran merah, Taufan Noul dijangka landa Guangdong

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BEIJING: Balai Cerap Meteorologi Kebangsaan China semalam mengeluarkan amaran merah, iaitu tahap tertinggi dalam sistem amaran taufan negara itu, susulan Taufan Noul yang semakin menghampiri daratan, lapor Xinhua.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC), Taufan Noul yang merupakan taufan ke-12 melanda China pada tahun ini dijangka membadai kawasan pesisir pantai di wilayah Guangdong, selatan China.

Sehingga semalam, pusat taufan itu berada kira-kira 100 kilometer (km) di luar pesisir tenggara Daerah Huidong di Bandar Huizhou, Guangdong, dengan kelajuan angin maksimum berhampiran pusat taufan mencecah Kategori 14.

NMC memaklumkan Taufan Noul dijangka bergerak ke arah barat laut pada kelajuan kira-kira 20 kilometer (km) sejam sambil terus menguat.

TAUFAN Noul dijangka membadai wilayah Guangdong apabila China mengeluarkan amaran merah, tahap tertinggi dalam sistem amaran taufan negara itu. Foto Agensi

Selepas membadai daratan, taufan itu dijangka beralih ke arah utara-barat laut sebelum beransur-ansur menjadi lemah.

Terdahulu pada hari sama, Ibu Pejabat Kawalan Banjir dan Bantuan Kemarau Negara meningkatkan tahap tindak balas kecemasan bagi kawalan banjir dan taufan di wilayah Guangdong kepada Tahap III.

Agensi itu turut mengaktifkan tindak balas kecemasan banjir Tahap IV bagi wilayah Jiangxi dan Hunan.

China menggunakan sistem amaran cuaca empat peringkat bagi taufan, dengan amaran merah sebagai tahap paling tinggi, diikuti jingga, kuning dan biru. – Bernama