BEIJING: Balai cerap kebangsaan China pada Ahad mengaktifkan amaran merah – tahap tertinggi dalam sistem amaran taufan negara itu – susulan Taufan Dolphin yang semakin menghampiri, lapor Xinhua.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan (NMC), Taufan Dolphin dijangka melanda kawasan pantai timur negara itu dari Sanmen di wilayah Zhejiang hingga Fuding di wilayah Fujian antara Ahad malam hingga awal pagi Isnin.
Ketua Peramal NMC Wang Haiping berkata amaran peringkat tertinggi itu dikeluarkan berikutan hujan lebat yang dibawa taufan berkenaan, kawasan terjejas yang luas serta tempohnya yang berpanjangan.
Dari Ahad hingga Rabu, beberapa kawasan termasuk utara Fujian, Zhejiang, Shanghai, utara Jiangxi, Jiangsu, Anhui, timur Hubei, tengah dan timur Henan serta selatan Shandong bakal dilanda hujan lebat, dengan beberapa kawasan di tengah dan timur Zhejiang serta selatan Anhui berdepan hujan lebat luar biasa.
Menyentuh kawasan yang memerlukan langkah pencegahan, Wang berkata kawasan pesisir pantai timur China dan Laut China Timur perlu memberi tumpuan terhadap ancaman angin kencang.
Dari Ahad hingga Selasa, kebanyakan kawasan di Laut China Timur, Teluk Hangzhou, kawasan pesisir pantai Zhejiang dan muara Sungai Yangtze dijangka mengalami angin pada skala 9 hingga 12, dengan tiupan angin mencecah skala 11 hingga 14, manakala tiupan berhampiran pusat taufan boleh mencapai skala 15 hingga 16.
Wilayah terbabit juga perlu berwaspada terhadap bencana susulan yang dicetuskan oleh hujan lebat berterusan. Risiko banjir di kawasan pergunungan, bencana geologi dan banjir kilat di sungai kecil dan sederhana adalah agak tinggi di Zhejiang, Anhui, Henan dan Hebei manakala beberapa bandar turut berdepan risiko tinggi banjir kilat.
NMC meramalkan Taufan Dolphin akan bergerak ke arah barat laut dan beransur lemah selepas melanda daratan. Selepas Rabu, pusaran sisa taufan yang semakin lemah itu dijangka bergerak ke arah utara.
Dari Khamis hingga Ahad, wilayah Beijing-Tianjin-Hebei, utara Shandong dan Liaoning berkemungkinan mengalami hujan lebat, dengan beberapa kawasan dijangka dilanda hujan lebat yang luar biasa.
Sebagai tindak balas terhadap taufan itu, pihak berkuasa meteorologi China pada Ahad meningkatkan tahap tindak balas kecemasan bagi bencana meteorologi teruk daripada Tahap III kepada Tahap II.- Bernama-Xinhua





