VAKSIN merupakan satu-satunya cara untuk rakyat China bebas sekatan ketat Covid-19. • Foto AFP
BEIJING: Kerajaan China digesa menggunakan vaksin Covid-19 generasi kedua yang kualiti dan keselamatannya dipertingkatkan dalam tempoh segera bagi meningkatkan tahap imunisasi kebangsaan serta persediaan pembukaan sempadan.
Lapor AFP, gesaan itu dibuat ketika kadar imunisasi rakyat negara ini yang sudah dua dos mencecah 87 peratus daripada jumlah keseluruhan populasi.
Ahli Jawatankuasa Persidangan Perundingan Politik Rakyat China Ke-13 (CPPCC), Zhu Tao mengusulkan supaya kerajaan negara ini mempercepatkan usaha menguatkan tahap imunisasi keseluruhan dengan menggunakan pelbagai jenis vaksin sebagai dos penggalak menjelang tahun depan.
Tao yang juga merupakan ketua saintis bagi syarikat pengeluar vaksin CanSinoBIO menyarankan penggunaan meluas vaksin Covid-19 yan dinyahaktifkan bagi memberikan asas imunisasi yang kukuh.
Katanya, vaksin generasi kedua iaitu sama ada diambil secara sedutan, mRNA atau vaksin khusus untuk Omicron tetap diperlukan bagi mengukuhkan imuniti kelompok.
Jelasnya, syarat itu penting sekiranya China manu menamatkan larangan perjalanan Global kerana trend jangkitan Covid-19 masih membimbangkan di negara ini.
“Jika China gagal mempercepatkan penggunaan vaksin generasi kedua ini dan hanya bergantung kepada vaksin sebelum ini, kita mungkin kalah memerangi Covid-19.
“Vaksin Covid-19 merupakan satu-satunya cara untuk rakyat negara ini mempunyai imunisasi mencegah jangkitan serius.
“Sehubungan itu, kita perlukan pelbagai jenis vaksin untuk dijadikan sebagai dos penggalak pada masa depan,” katanya.
Ketika ini, pihak berkuasa kesihatan China masih mengenakan sekatan Covid-19 yang ketat sebagai langkah berterusan memerangi virus maut itu.-AFP