BEIJING: China akan meningkatkan umur persaraan berkanunnya secara beransur-ansur, ketika negara itu bergelut dengan krisis demografi dan populasi yang semakin tua.
Agensi berita negara Xinhua berkata, pegawai tinggi di Beijing memutuskan bahawa ‘umur persaraan berkanun untuk pekerja lelaki akan dilanjutkan secara beransur-ansur daripada 60 kepada 63 tahun’.
“Bagi pekerja wanita umur persaraan akan dilanjutkan ‘daripada 50 atau 55 tahun kepada 55 dan 58 tahun’ bergantung kepada jenis pekerjaan.
“Umur persaraan akan dinaikkan secara beransur-ansur selama 15 tahun mulai 1 Januari 2025.
“Mulai 2030, pekerja perlu membuat sekurang-kurangnya 20 tahun caruman pencen asas dan bukannya 15 tahun.
“Peraturan baharu itu akan membolehkan orang China menangguhkan persaraan ke tarikh yang lebih lewat jika mereka mencapai persetujuan dengan majikan,” menurut laporan Xinhua.
Beratus-ratus juta orang di China dijangka memasuki usia tua dalam beberapa dekad akan datang manakala kadar kelahiran berkurangan secara mendadak.
Populasi penduduk negara jatuh pada 2023 untuk tahun kedua berturut-turut, dengan penggubal dasar dan pakar memberi amaran mengenai kesan teruk terhadap ekonomi, penjagaan kesihatan dan sistem kebajikan sosial jika tindakan tidak diambil.
Umur persaraan China tidak dinaikkan selama beberapa dekad dan menjadi antara yang paling rendah di dunia.
Sementara itu, media kerajaan berkata, langkah itu berdasarkan ‘penilaian menyeluruh terhadap purata jangka hayat, keadaan kesihatan, struktur penduduk, tahap pendidikan dan bekalan tenaga kerja’.
Pakar ekonomi buruh di Universiti Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa di Beijing, Li Changan, berkata perubahan demografi mungkin menjadi faktor utama di sebalik keputusan itu.
“Kerajaan pusat mula-mula mencadangkan menukar umur persaraan pada 2013 dan terdapat banyak perbincangan sosial sejak itu.
“Saya fikir ramai orang bersedia dari segi mental untuk pengumuman itu,” katanya. – AFP