LA SERENA: Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter menggegarkan utara Chile pada Sabtu malam, gempa kuat kedua yang melanda negara itu minggu ini.
Bagaimanapun, tiada kerosakan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu.
Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) dalam satu kenyataan memberitahu, pusat gempa itu dikesan 45 kilometer di barat laut negara itu, kira-kira 400 kilometer di utara ibu kota Chile, Santiago.
Pada Selasa lepas, gempa bumi berukuran 6.8 skala Richter melanda negara itu yang tidak menyebabkan kerosakan atau kecederaan.
Chile terletak dalam Lingkaran Api Pasifik dan sering dilanda gempa berukuran lebih dari 6.0 skala Richter.
Kali terakhir negara itu dilanda gempa terbesar adalah pada 27 Februari 2010 yang berkekuatan 8.8 skala Richter sehingga menyebabkan beberapa wilayah di Chile dilanda tsunami.
Kejadian itu menyebabkan 526 orang maut dan puluhan yang lain hilang.-AFP