
MIRI: Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan pada 22 Januari lalu berhubung Pelan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT Asas) serta penerbitan kertas putih berkaitan yang dipersetujui oleh Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Untuk Kos Penjagaan Kesihatan Swasta (JBMKKS) di bawah strategi RESET.
Menurut beliau, langkah tersebut bukan sekadar dasar di atas kertas, sebaliknya menangani isu sebenar yang telah lama membebankan rakyat, khususnya kenaikan mendadak premium insurans perubatan yang menjejaskan warga emas dan golongan M40 yang bergantung kepada perlindungan kesihatan swasta.
Beliau berkata, isu kenaikan premium insurans perubatan telah dibangkitkannya secara konsisten di Parlimen sejak beberapa tahun lalu kerana ia menyentuh maruah hidup, keselamatan kewangan keluarga dan kesejahteraan persaraan rakyat.
“Kenaikan premium memaksa rakyat, terutama warga emas, menggugurkan perlindungan insurans ketika mereka paling memerlukannya.
“Apabila perlindungan gugur, rakyat terdedah kepada bil rawatan yang tinggi dan akhirnya terpaksa menggunakan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sepatutnya untuk persaraan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, keadaan itu turut memberi tekanan kepada sistem kesihatan awam apabila rakyat beralih ke fasiliti kerajaan selepas simpanan persaraan mereka terjejas.
Sehubungan itu, Chiew memaklumkan beliau telah beberapa kali menggesa campur tangan Kerajaan apabila premium insurans menjadi tidak munasabah dan membebankan rakyat. Antaranya, pada 20 November 2024, beliau meminta Kerajaan mengkaji pemberian subsidi serta rundingan dengan syarikat insurans supaya perlindungan perubatan dapat ditawarkan sehingga umur 99 tahun pada kadar yang berpatutan.
Pada 20 Februari 2025 pula, beliau mencadangkan agar satu skim insurans perubatan mampu milik diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan rakyat terhadap simpanan KWSP.
Cadangan tersebut turut diulangi semasa perbahasan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) pada 7 Ogos 2025, termasuk keperluan memperkenalkan produk insurans atau takaful kesihatan asas yang seragam bagi perkhidmatan kesihatan swasta.
Beliau turut memaklumkan bahawa isu berkenaan telah dibincangkan secara menyeluruh dalam sesi Kamar Khas bersama Timbalan Menteri Kesihatan ketika itu pada 12 Ogos 2025.
Dalam pada itu, Chiew menegaskan bahawa walaupun mengakui kos penjagaan kesihatan semakin meningkat, beliau menolak normal baharu yang menyaksikan lonjakan premium tanpa kerangka yang adil, telus dan mampan sehingga menjejaskan kelangsungan ekosistem pembiayaan kesihatan swasta.
“Komitmen Kerajaan untuk memperkukuh kemampuan kesihatan rakyat melalui insentif bersasar dan pembangunan MHIT Asas adalah langkah ke hadapan yang wajar disokong demi kepentingan rakyat secara keseluruhan,” katanya.
Oleh Liong Chai ling