Chieng taja dua AED tingkat keselamatan komuniti

Facebook
WhatsApp
CHIENG....Melakukan demostrasi pertolongan cemas untuk bayi tercekik pada pada program World First Aid Day 2026 anjuran BSMM Cabang Sibu, pagi ini. Turut kelihatan ialah Chua (tengah).

SIBU: Dua unit Alat Kejutan Elektrik Automatik (Automated External Defibrillator – AED) akan ditempatkan di lokasi awam yang menjadi tumpuan orang ramai di bandar ini sebagai usaha meningkatkan kesiapsiagaan komuniti menghadapi kecemasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, beliau akan menaja dua unit AED untuk dipasang masing-masing di Pasar Sentral Sibu dan Pasar Sementara Jalan Tiong Hua.

Menurutnya, pemasangan kedua-dua AED itu kini sedang dibincangkan bersama pihak Majlis Perbandaran Sibu (MPS) bagi menentukan butiran pelaksanaannya.

UNTUK KENANGAN.….Chieng merakam kenangan bersama para peserta pada program World First Aid Day 2026 anjuran BSMM Cabang Sibu, pagi ini.

“Ini merupakan lokasi yang sibuk dan menjadi tumpuan ramai setiap hari. Saya berharap kewujudan AED ini dapat menyediakan lapisan keselamatan tambahan kepada komuniti, selain menggalakkan lebih ramai orang mempelajari CPR dan pertolongan cemas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia (World First Aid Day) 2026 anjuran Bulan Sabit Merah (BSMM) Cabang Sibu, pagi ini.

Chieng yang juga Penasihat Kehormat BSMM Cabang Sibu berkata, pertolongan cemas merupakan kemahiran asas yang penting untuk dipelajari oleh semua lapisan masyarakat dan tidak seharusnya dianggap sebagai kemahiran khusus untuk doktor, jururawat atau petugas perubatan sahaja.

Katanya, kecemasan boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja termasuk di rumah, sekolah, tempat kerja, jalan raya serta kawasan komuniti.

“Beberapa minit pertama ketika kecemasan berlaku boleh menjadi sangat kritikal. Sementara menunggu bantuan perubatan profesional tiba, mereka yang berada di lokasi kejadian mungkin menjadi individu pertama yang boleh memberikan bantuan.

“Sebab itu, pertolongan cemas ialah kemahiran hidup yang boleh dipelajari oleh semua orang,” katanya.

Beliau turut menggalakkan khususnya golongan muda mengambil peluang mempelajari asas pertolongan cemas dan CPR bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat.

Menurutnya, semakin ramai anggota komuniti yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran pertolongan cemas, semakin selamat dan berdaya tahan sesebuah komuniti dalam menghadapi situasi kecemasan.

Beliau turut memuji komitmen serta dedikasi sukarelawan BSMM dalam mempromosikan pertolongan cemas, nilai kemanusiaan dan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

“Komuniti yang selamat bukan semata-mata komuniti yang tidak berdepan kecemasan, tetapi komuniti yang bersedia untuk bertindak apabila kecemasan berlaku,” katanya.

Chieng berkata, inisiatif penyediaan dua unit AED itu merupakan kerjasama antara Pusat Khidmat Bukit Assek, BSMM Cabang Sibu dan Kelab Lions Sibu Mandrin.

Beliau berharap kerjasama berkenaan dapat memberi manfaat lebih besar kepada masyarakat serta memupuk kesedaran mengenai kepentingan pertolongan cemas.

“Saya mengucapkan tahniah kepada BSMM Cabang Sibu atas penganjuran World First Aid Day 2026 serta penghargaan kepada semua sukarelawan, jurulatih, rakan kerjasama dan peserta yang terlibat menjayakan program berkenaan,” kata beliau.

Turut hadir, Pengarah BSMM Sarawak, Chai King Sing dan Pengerusi BSMM Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee.

Oleh Akun Giman