NANTONG (China): Ratu wusyu negara Tan Cheong Min mengakui rindu untuk mengulangi kejayaan merangkul gelaran juara dunia pada 2019 di Shanghai.
Atlet kelahiran Cheng, Melaka berusia 26 tahun itu berkata kegagalan untuk meraih kembali gelaran itu pada edisi Kejohanan Wusyu Dunia tahun lepas, mengajar beliau untuk tidak mengalah dan terus bangkit bagi mengecap kejayaan.
Beliau bertekad untuk menebus kekecewaan di Brazil tahun depan dalam kejohanan itu yang akan berlangsung dari 7 hingga 14 September.
“Sudah semestinya rindu sebab masa Kejohanan Wusyu Dunia edisi 2023 di (Fort Worth, Amerika Syarikat) mungkin atas faktor terlalu banyak mengharungi pelbagai perlawanan mengakibatkan badan tak sempat pulih.
“Tambahan pula dengan demam dan selesema serta keadaan cuaca di sana menyebabkan persembahan saya tidak berapa baik tapi saya tak mahu jadikan ia sebagai alasan,” katanya yang turut serta dalam Kejohanan Wusyu ASEAN-China di Universiti Nantong di sini.
Beliau yang baharu sahaja memenangi emas sulung Kejohanan Asia pada September lepas di Macau, berkata pengalaman itu memotivasikan dirinya supaya lebih bersedia menghadapi sebarang kemungkinan pada kejohanan yang menampilkan ramai jaguh dunia itu.
“Sekiranya terpilih sudah semestinya saya akan lakukan yang terbaik dan cuba ulang memori Kejohanan Dunia 2019 lalu,” katanya.
Cheong Min menutup kempen Kejohanan Wusyu ASEAN-China di sini yang berlangsung pada 3-6 November dengan menyumbang emas dalam acara nanquan dan perak menerusi nandao.
Kejohanan yang julung kali diadakan sempena hubungan diplomatik 50 tahun antara Malaysia dan China itu menyaksikan pasukan negara meraih 10 emas dan tujuh perak setakat ini. – Bernama