PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka mengekalkan khidmat Tan Cheng Hoe bagi membimbing skuad Harimau Malaya mengharungi baki pusingan kelayakan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 serta Kejuaraan AFF Suzuki yang ditunda sehingga tahun depan.
Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata badan induk itu masih memerlukan khidmat jurulatih berusia 52 tahun itu yang membantu skuad Harimau Malaya meraih keputusan positif dalam beberapa aksi persahabatan antarabangsa, selain pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 setakat ini.
“Kami akan selesaikan perkara ini (kontrak) dalam tempoh terdekat dan perbincangan masih berlangsung dengan Cheng Hoe,” katanya selepas menyampaikan taklimat kepada media berhubung pelesenan kelab dan proses pemisahan daripada Persatuan Bola Sepak (FA) kepada Kelab Bola Sepak (FC), di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, semalam.
Cheng Hoe dilantik sebagai pengendali skuad Harimau Malaya sejak Disember 2017 dan kontraknya bersama FAM dijangka berakhir Disember ini.
Dalam pada itu, Stuart memaklumkan FAM dijangka membuat keputusan berhubung perancangan skuad Harimau Malaya, termasuk aksi persahabatan antarabangsa pada Oktober dan November ini, selewat-lewatnya Khamis depan.
Baru-baru ini, Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) mengambil keputusan bersama menangguhkan baki pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada Oktober dan November ini, kepada 2021 susulan penularan pandemik Covid-19.
“Kami memerlukan sedikit masa untuk memberi penjelasan kepada pihak media dan penyokong skuad Harimau Malaya yang menunggu apa perancangan kami untuk skuad kebangsaan selepas ini.
“Kami juga dalam perbincangan dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) mengenai kalendar (bola sepak) tempatan untuk Oktober dan November ini yang kosong susulan penundaan tersebut, selain penyertaan pasukan Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Juara-Juara Asia yang bersambung pada Oktober ini,” katanya.
FAM sebelum ini merancang mengadakan aksi pemanas badan menentang Bahrain dan Kuwait, masing-masing pada Jun dan Oktober, namun terpaksa dibatalkan susulan keputusan terbaharu daripada FIFA dan AFC.
Berdasarkan perancangan asal, Malaysia dijadual meneruskan aksi Kumpulan G pusingan kedua kelayakan berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat lawan pada 8 Oktober ini.
Skuad Harimau Malaya bakal melayan kunjungan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini (13 Oktober), sebelum melengkapkan jadual menentang Thailand di Bangkok, 17 November ini.
Malaysia kini berada di tangga kedua kumpulan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 dengan mengumpul sembilan mata selepas mengharungi lima daripada keseluruhan lapan aksi kumpulan.
Hanya UAE yang berada di tangga keempat dengan enam mata memiliki kelebihan satu aksi sementara pendahulu, Vietnam dengan 11 mata diikuti Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata) dan Indonesia tercorot tanpa sebarang mata.- Bernama