
KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan EXO dari Korea Selatan, Chen mengejutkan peminat di Malaysia dengan memilih negara ini sebagai destinasi terakhir jelajah konsert solo ‘Arcadia’ beliau.
Konsert berkenaan yang dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Mac ini dijangka menyajikan satu pengalaman pentas yang penuh emosi serta visual memukau.
Ketua Pegawai Operasi pasukan penganjur, Hans Kim dalam kenyataan memaklumkan lebih separuh daripada tiket telah habis terjual sejak jualan dibuka, sekali gus menunjukkan sambutan menggalakkan daripada peminat tempatan.
“Chen telah mengusik jutaan peminat di seluruh dunia dan persembahan ini adalah peluang yang sangat jarang untuk merasai hubungan itu secara langsung. Ia lebih daripada sekadar konsert, ia satu perjalanan emosi,” katanya.
Sebelum tiba di Malaysia, Chen, 34, atau nama sebenarnya Kim Jong Dae akan mengadakan persembahan di Taipei, Yokohama, Jakarta, Manila dan Macau sebagai sebahagian daripada jelajah 2026 beliau.
Peminat setia EXO, dikenali sebagai EXO-L, boleh menjangkakan gabungan balada ikonik, lagu siulan peminat serta karya yang diberi sentuhan istimewa, menyerlahkan kekuatan vokal Chen yang sering dikaitkan dengan runut bunyi drama Korea.
Lebih menarik, konsert itu juga dijanjikan dengan elemen imersif yang memukau, termasuk visual diod pancaran cahaya (LED) sinematik, pencahayaan dinamik dan sistem akustik berkejelasan tinggi bagi meningkatkan pengalaman penonton sepanjang persembahan.
Tiket konsert dijual bermula pada harga RM398 hingga RM798. – Bernama