IPSWICH: Enzo Maresca mengakui Chelsea seharusnya tidak memikirkan untuk mencabar gelaran Liga Perdana selepas Ipswich yang berada di kedudukan tiga tercorot mampu mengalahkan Blues 2-0 di Portman Road awal pagi tadi.
Pasukan Maresca dikejutkan dengan penalti awal Liam Delap dan gol separuh masa kedua oleh bekas sayap Chelsea, Omari Hutchinson.
Kekalahan kedua berturut-turut Chelsea selepas kekalahan mereka pada Hari Boxing kepada Fulham menyaksikan mereka gagal meraih kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir.
Pasukan dari barat London itu membuat kejutan apabila muncul sebagai pencabar gelaran selepas mencatat lapan kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.
Namun, Maresca sepanjang tempoh itu menegaskan bahawa pasukan Chelsea yang kurang pengalaman tidak memiliki keupayaan untuk meraih gelaran pada musim pertama beliau selepas tiba dari Leicester.
Ramalan pengurus Itali itu nampaknya tepat selepas keputusan mengejut di Suffolk yang meletakkan Chelsea di tempat keempat, 10 mata di belakang pendahulu liga, Liverpool yang kurang satu perlawanan.
“Kami fokus perlawanan demi perlawanan. Kami tidak fokus pada pemburuan gelaran atau perkara selain itu.
“Ia adalah perlawanan yang pelik. Kami mempunyai banyak peluang, kami boleh melakukan banyak perkara dengan lebih baik, bertahan dengan lebih baik pada beberapa ketika tapi akhirnya kami gagal.
“Namun kami menamatkan bahagian pertama musim ini dengan tiada siapa yang menjangkakan kami berada di tempat kami sekarang. Ini adalah perlumbaan yang panjang,” kata Maresca.
Ipswich yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga tercorot, kini satu mata berada di atas zon penyingkiran selepas meraih kemenangan kedua dalam empat perlawanan terakhir mereka.
Pasukan Kieran McKenna kini memperoleh semula keyakinan bahawa mereka boleh mengelak penyingkiran ke Liga Kejuaraan hasil kemenangan pertama di laman sendiri dalam Liga Perdana selepas 22 tahun.
“Malam yang istimewa untuk kelab. Kemenangan pertama di tempat sendiri dalam Liga Perdana di Portman Road selepas 22 tahun dan melakukannya menentang Chelsea adalah luar biasa.
“Semua yang terbabit dengan Ipswich boleh menikmati segelas minuman berkilauan malam esok dan memikirkan detik yang kami alami dalam beberapa tahun terakhir ini,” kata McKenna. – AFP