
Pemaib Crystal Palace, Tyrick Mitchell (kiri) cuba menghalang serangan Estevao.
LONDON: Chelsea masih terbuai dengan kejayaan selepas menjuarai Piala Dunia Kelab apabila hanya mampu melakar keputusan seri tanpa jaringan menentang Crystal Palace dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), malam tadi.
Chelsea bernasib baik apabila Palace dinafikan gol awal selepas sepakan percuma Eberechi Eze dibatalkan pengadil susulan semakan VAR yang mendapati Marc Guehi menghalang benteng Chelsea.
Pemain baharu The Blues, Estevao hampir menjadi wira namun juara dunia itu jelas tumpul di jentera serangan berdepan pertahanan Palace yang cukup teratur.
Dua tonggak utama Eagles, Guehi dan Eze tetap diturunkan meskipun spekulasi semakin kencang mengenai perpindahan mereka ke Liverpool dan Tottenham.
Eze menyangka dia sudah membuka tirai jaringan menerusi sepakan percuma kencang yang gagal ditepis Robert Sanchez, namun jaringan itu tidak dikira kerana Guehi didakwa menolak Moises Caicedo untuk membuka ruang dalam benteng.
Kejayaan Chelsea membelasah juara Eropah, Paris Saint-Germain (PSG) untuk menjulang Piala Dunia Kelab bulan lalu menaikkan semangat penyokong bahawa mereka mampu kembali mencabar kejuaraan liga selepas kali terakhir bergelar juara pada 2017.
Bagaimanapun, bintang seperti Cole Palmer dan Joao Pedro yang menyerlah dalam kemenangan 3-0 ke atas PSG di New York, 35 hari lalu, tenggelam kali ini sehingga memaksa pengendali Enzo Maresca membuat pertukaran pemain.
Estevao, yang pernah menjaringkan gol menentang Chelsea ketika mewakili Palmeiras di Piala Dunia Kelab, gagal mempamerkan ketajaman di depan gol apabila menyepak tinggi dan tersasar meskipun berada dalam kedudukan terbaik.
Dalam satu lagi aksi, Nottingham Forest mengetepikan kebimbangan pengendali Nuno Espirito Santo pada pramusim apabila membelasah Brentford 3-1.
Chris Wood meledak dua gol selain sumbangan jaringan debut Dan Ndyoe pada petang malang buat pengendali baharu Brentford, Keith Andrews.
The Bees kehilangan pengendali, kapten dan penjaring utama musim panas ini Thomas Frank menyertai Tottenham, Bryan Mbeumo berhijrah ke Manchester United manakala Christian Norgaard pula disambar Arsenal.
Penyerang Yoane Wissa juga tidak diturunkan kerana dijangka berpindah ke Newcastle.
Satu-satunya gol saguhati Brentford hadir menerusi sepakan penalti Igor Thiago, jaringan pertamanya bersama kelab itu. – AFP