
Joao Pedro.
LONDON: Chelsea menandatangani penyerang Brazil, Joao Pedro dari Brighton dalam perjanjian dilaporkan bernilai £60 juta (RM347 juta) hari ini.
Pedro diterbangkan ke Amerika Syarikat ketika Chelsea kini beraksi dalam Piala Dunia Kelab selepas syarat perjanjian lapan tahun itu dipersetujui.
Berikutan perpindahan disahkan selepas ujian perubatan, Pedro kini boleh beraksi bersama skuad Enzo Maresca pada suku akhir Piala Dunia Kelab menentang Palmeiras di Philadelphia.
FIFA sudah memberikan kelab yang terbabit dalam saingan kalah mati kejohanan itu hingga 3 Julai bagi mendaftarkan pemain baharu.
“Semua orang tahu ini ialah kelab besar dengan sejarah hebat,” kata Pedro.
“Mereka memiliki pemain yang bijak sebelum ini dan ada pemain bijak ketika ini, jadi saya teruja untuk menyertainya dan anda tahu apabila anda seorang pemain Chelsea, anda hanya fikirkan satu perkara – menang.”
Pedro, yang menyertai Brighton dari Watford dua tahun lalu, meledak 30 gol dalam 70 penampilan buat Seagulls dan tiga kali mewakili Brazil. – AFP