LONDON: Fulham meledak dua gol dalam tempoh 10 minit terakhir untuk menamatkan catatan 12 kemenangan berturut-turut Chelsea dalam semua pertandingan dengan kemenangan mengagumkan 2-1 aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stamford Bridge.
Pemain gantian Harry Wilson (minit ke-82) dan Rodrigo Muniz (minit ke-95) mengejutkan The Blues sekali gus meraih kemenangan pertama Fulham di gelanggang lawan di kelab musuh barat London itu sejak 1979.
Kekalahan itu meninggalkan Chelsea tujuh mata di belakang pendahulu Liverpool, yang menundukkan Leicester 3-1 awal pagi tadi serta beraksi kurang satu perlawanan.
Kemenangan itu sebaliknya melonjak Fulham ke tangga kelapan, terikat mata dengan pasukan juara Manchester City dan hanya satu mata di belakang pasukan tangga kelima Newcastle untuk mengukuhkan peluang mereka beraksi di Eropah musim depan.
“Ia satu keistimewaan untuk memberikan peminat kami kegembiraan ini,” kata bos Fulham, Marco Silva.
“Tindak balas separuh masa kedua memang hebat. Ia bukan satu kebetulan kami pasukan dalam EPL yang menjaringkan gol paling banyak menerusi pemain gantian.”
Bos Chelsea, Enzo Maresca menegaskan dalam beberapa minggu terakhir pasukan mudanya masih belum bersedia mencabar kejuaraan di sebalik persembahan baik mereka dan mendahului menerusi Cole Palmer pada minit ke-16.
Ia jaringan ke-26 Palmer pada tahun 2024, mengatasi rekod Chelsea bagi gol EPL dijaringkan dalam kalendar tahunan dilakar Jimmy Floyd Hasselbaink pada 2001.
“Kami mendahului sepanjang perlawanan, tetapi untuk kalah pada hujung perlawanan adalah sukar,” kata Palmer.
“Babak kedua kami hilang kawalan sedikit. Mereka pasukan transisi yang bagus dan suka berlari secara terus, kami terperangkap dengan corak permainan mereka dan dihukum.” – AFP