
KABONG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir menziarahi Ketua Kaum Kampung Sungai Benang Kabong, Muhd Shah Sapiee yang kini sedang berehat selepas menerima rawatan di Hospital Sarikei sejak Disember tahun lalu.
Menurut beliau, Muhd Shah mengalami kecederaan patah tulang belakang dan masih memerlukan tempoh rehat bagi memastikan proses pemulihan berjalan lancar.
Difahamkan, Muhd Shah juga perlu sentiasa menggunakan peralatan sokongan tulang belakang atau baju besi sebagai bantuan rawatan dan pemulihan.
Chee Kadir berkata, beliau berharap Muhd Shah diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian kesihatan yang sedang dilalui ketika ini.

“Semoga segala urusan rawatan beliau dipermudahkan dan dikurniakan kesembuhan yang berpanjangan,” katanya semasa lawatan tersebut, hari ini.
Beliau yang hadir bersama isteri, Meryani Yassin, turut menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga Muhd Shah agar terus tabah sepanjang tempoh pemulihan itu.
Chee Kadir berkata sebagai wakil rakyat, beliau akan terus mengambil berat kebajikan masyarakat setempat termasuk menziarahi penduduk yang memerlukan perhatian dan sokongan.
Oleh Adi Safarman