
ISTANBUL: Chatbot AI OpenAI, ChatGPT dan perkhidmatan berkaitannya, mengalami gangguan meluas hari ini, menyebabkan ribuan pengguna di seluruh dunia tidak dapat mengakses platform itu, menurut laporan pengguna dan halaman berkenaan status syarikat.
Anadolu Ajansi melaporkan Downdetector, sebuah perkhidmatan yang memantau gangguan laman sesawang, melaporkan peningkatan mendadak dalam aduan pengguna, dengan ribuan orang di seluruh dunia melaporkan masalah mengakses ChatGPT, termasuk mesej ralat dan masa respons yang lambat.
Data laman sesawang menunjukkan lonjakan ketara dalam laporan gangguan, walaupun tidak jelas sama ada semua pengguna terjejas.
Gangguan itu juga menjejaskan perkhidmatan berkaitan, dengan OpenAI mengesahkan masalah itu di halaman statusnya, menyatakan: “Sesetengah pengguna mengalami kadar ralat yang lebih tinggi dan kelewatan melalui API, ChatGPT, dan Sora.”
Syarikat itu berkata ia sedang menyiasat secara aktif tetapi belum memberikan sebarang garis masa untuk penyelesaian.
-Bernama-Anadolu