
πππππ: Cahaya lampu berwarna-warni, alunan muzik perarakan dan aroma juadah tradisional menyemarakkan malam sambutan Chap Goh Meh di sini, sekali gus menyerlahkan keharmonian serta semangat perpaduan masyarakat berbilang kaum.
Acara tahunan bermula 7.00 malam itu berjaya menarik kehadiran orang ramai seawal 4.00 petang.
Sebanyak 38 kontinjen melibatkan persatuan, kampung dan sekolah jenis kebangsaan Cina sekitar daerah ini menyertai perarakan sejauh kira-kira empat kilometer mengelilingi Pekan Lundu dengan pelbagai kenderaan berhias.

Menurut ahli Persatuan Chung Hua Lundu, Eric Phua, penyertaan tahun ini amat memberangsangkan dan mencerminkan komitmen masyarakat setempat dalam memelihara warisan budaya.
Perarakan kali ini turut mencatat keunikan tersendiri apabila melibatkan penyertaan kumpulan Bumiputera dan masyarakat bukan Cina, antaranya HNBL Enterprise dan Kampung Sedaing (kereta berhias), Pencak Anak Sebuyau (Kampung Sungai Lundu), Lundu Lion Dance Team (Rannee Pat) serta Lan Ngindang dari Kampung Perian.

Penyertaan pelbagai kaum itu memperlihatkan penyatuan budaya setempat dan membuktikan perpaduan mampu diperkukuh menerusi penghayatan tradisi secara bersama.
Ketua Kaum Kampung Seketi Cina, Lim Ted Hong berkata, perarakan tersebut merupakan acara tahunan yang sentiasa mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pelbagai lapisan.
βPenganjuran sambutan dalam bulan Ramadan sebagai manifestasi sikap saling menghormati serta meraikan kepelbagaian etnik di daerah ini,β kata Rufaizah Bujang, salah seorang pengunjung.

Selain perarakan, gerai makanan tradisional dan cenderahati turut memeriahkan suasana sekali gus memberi peluang kepada pengunjung menikmati juadah tempatan serta membawa pulang kenangan istimewa.
Majlis perarakan diakhiri dengan penyampaian sijil penyertaan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.3 Tanjung Datu, Azizul Annuar Adenan dan ADUN N.1 Opar, Billy Sujang sebagai penghargaan kepada semua kontinjen yang mengambil bahagian.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Premier, Abang Abdul Aziz Abang Draup, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, Presiden Persatuan Chung Hua Lundu, Goh Chin Seng, Naib Presiden Persatuan Chung Hua Lundu, Chin Kian Ming, serta ketua jabatan dan wakil pertubuhan. – JAPEN