

SIMANGGANG: Setiap kali menjelang Ramadan, pemilihan bubur lambuk dan bubur pedas sebagai salah satu juadah berbuka puasa menjadi satu kewajiban dalam kalangan masyarakat Islam.
Berbeza dengan keluarga Razmi Saaee yang menetap di Kampung Hilir, Simanggang apabila menyediakan bubur kapur gula apong pada setiap Ramadan untuk diagihkan kepada penduduk sekitar kampung itu.
Razmi ketika ditemui hari ini berkata, ia sudah menjadi tradisi keluarganya pada setiap Ramadan, yang mana keluarganya bergotong-royong memasak sebelum mengagihkan bubur itu kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, inisiatif dan idea itu dicetuskan oleh keluarganya sendiri dan menjadi tradisi saban tahun, selain menambah tahun ini merupakan kali kelima ia dianjurkan.
“Kebiasaannya bubur lambuk dan bubur pedas paling istimewa dimasak dan diagihkan kepada orang ramai setiap kali Ramadan tetapi keluarga kami ingin melakukan kelainan dengan memasak bubur kapur gula apong,” katanya.
Kerja-kerja penyediaan bubur itu hanya melibatkan ahli-ahli keluarganya kerana penyediaan bubur ini tidak seperti memasak bubur lambuk dan bubur pedas.
Tahun ini, keluarga Razmi telah mengagihkan sebanyak 400 bungkus bubur kapur gula apong kepada penduduk kampung serta warga Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sri Aman.
Oleh Adi Safarman