Oleh: Lokman Hakim
PERENGGAN pertama cerpen “Syawal” memaparkan suatu premis realisme yang begitu berkesan. Setiap ayatnya ditulis ringkas tetapi tepat membawa jalan ceritanya. Elwee Fred kelihatannya mempunyai gaya kepengarangannya tersendiri – suatu perkara yang jarang dilihat pada penulis pemula. Cara pengarang melukis babak awalan begitu kemas – kita dapat melihat imej watak-watak utama bersama-sama keresahannya diwarnai dengan landskap rumah yang digambarkan secara Murakamisque.
“Dari tadi matanya melilau ke luar jendela. Jam di dinding dikerling berkali-kali. Kerutan di dahi tidak dapat menyembunyikan rasa gelisah di lubuk atma. Kain langsir baharu yang dibeli sempena Syawal yang menjelma menari gemalai seiring tiupan angin kampung yang cuba menyejukkan suasana. Loceng jam berbunyi tepat menyentakkan dua jiwa yang dilanda buncah.”
Ada kepuitisan dalam pemilihan kata demi kata yang sederhana demi mengimbangkan naratif supaya tidak menenggelamkan matlamat utama penceritaan. Objek dan subjek yang dipilih pengarang dalam usaha menggambarkan babak juga tampak kecermatan supaya pelukisan babak demi babak dan transisi penceritaan terkawal.
Saya menggambarkan cerpen ”Syawal” ini ditulis dengan niat mahu melengkapkan resmi iklan-iklan terbitan badan-badan korporat dan konglomerat saban menjelang Hari Raya Aidilfitri. Oleh yang demikian, saya tidak melihat perkara ini suatu kejanggalan untuk menilai keberkesanan cerpen ini seperti garapan filem-filem pendek yang membentuk iklan sambutan Hari Raya.
Dalam bukunya yang berjudul Seni Melihat, John Berger ada mengungkapkan hal berikut:
Iklan berkesan kerana ia menyogok perkara yang hakiki. Pakaian, makanan, kereta, kosmetik, mandian, cahaya matahari ialah perkara hakiki yang dapat dinikmati. Iklan bermula dengan membujuk keinginan semula jadi untuk meraih kepuasan. Namun ia tidak mampu menawarkan objek kepuasan yang hakiki dan tiada pengganti meyakinkan bagi sesebuah kepuasan dalam bentuk yang benar-benar memuaskan.
Itulah kekuatan cerpen ini – ia menyajikan perkara hakiki yang dapat dinikmati. Realiti semasa yang menjadi kelaziman kita adalah betapa golongan muda harus berkelana jauh ke bandar-bandar meninggalkan orang tua masing-masing demi beroleh kehidupan yang lebih baik. Kemanisan balik bercuti berhari raya itu digambarkan sebaik mungkin dalam cerpen ini, meskipun dapat dirasakan ia ditamatkan secara tergesa-gesa.
Suka untuk saya perkatakan tentang kepintaran pengarang ini dalam menjaga rentak penceritaan yang sarat teknik kesusasteraan dan naratif bersahajanya. Lihat sahaja contoh ini:
“Berkat usaha suaminya, semuanya berjaya menyarung topi ijazah. Orang kampung sentiasa memuji keluarga mereka sebab berjaya melahirkan anak kampung yang berpendidikan meskipun kedua-duanya tidak berpeluang menimba ilmu. Ada peluang pun, apakan daya tali timbanya putus di tengah-tengah. Sudah putus, dibiarkan begitu sahaja.”
Transisi naratif yang menceritakan perjalanan anak mendapatkan ijazah demi menyambung hasrat kedua-dua ibu bapa mereka yang tidak berpeluang belajar ke peringkat tertinggi digandingkan dengan analogi “tali timbanya putus di tengah-tengah”. Naratif dan analogi itu dijambatkan dengan pemilihan frasa “menimba ilmu” yang melembutkan transisi dan gerak alur penceritaan.
Ayuh, kita lihat pula contoh lain:
“Benarlah kata orang, yang putih belum tentu baik, yang hitam belum tentu buruk. Hidup berkerjaya inilah yang mencipta jurang antara mereka sehingga setahun boleh dikira berapa kali mereka menjejakkan kaki di rumah kampung itu.”
Di sini kita boleh lihat kecermatan pengarang memilih analogi. Pilihannya diletakkan dengan suatu kesedaran dan pemahaman yang jitu terhadap penggunaan analogi tersebut. Gandingan “hidup berkerjaya” dengan analogi “yang putih” kelihatan segar dari segi penggunaannya. Analogi itu sekali gus tidak perlu menjelaskan apakah makna “yang hitam” itu. Dan frasa “yang putih belum tentu baik, yang hitam belum tentu buruk” itu apabila digandingkan dengan konteks “hidup berkerjaya” dan juga “sehingga setahun boleh dikira berapa kali mereka menjejakkan kaki di rumah kampung itu” menggambarkan kebijaksanaan pengarang.
“Hidup berkerjaya” itu sendiri suatu perkara yang baik, sekali gus sesuatu “yang putih” tetapi ia ada sisi yang tidak baiknya, iaitu ia mengekang kebebasan seorang pekerja untuk menggunakan waktu hariannya menurut hati dan fikirannya. Pengarang memahami falsafah kehidupan yang sifatnya kelabu dan pintar mencerakinkan konsepnya dalam penceritaan.
Pada awalan esei ini, saya ada memperkatakan perihal gaya kepengarangan tersendiri yang dimiliki Elwee Fred melalui beberapa frasa pemilihan kata-kata yang saya kira tidaklah menyerupai gaya kepengarangan mana-mana pengarang yang saya pernah baca. Justeru, saya percaya Elwee Fred sedang menelusuri pengalaman pembacaan yang baik dan tidak mustahil jika beliau meneruskan kerja-kerja mengarang dan membaca, potensinya akan berkembang pesat.
“Kepalanya ditolehkan ke arah meja makan yang sudah tersedia juadah untuk hari esok.”
Perbuatan menoleh bukanlah suatu perkara janggal yang boleh ditemui dalam mana-mana fiksyen. Meski terdapat elemen lewah (perbuatan menoleh sememangnya membabitkan kepala sahaja, maka tiada keperluan untuk meletakkan frasa “kepalanya ditolehkan”, kejanggalan frasa “kepalanya ditolehkan” itu sendiri kedengaran seperti sebuah identiti pengarang ini setelah meneliti pemilihan kata-kata yang membabitkan perbuatan yang membabitkan pergerakan kepala.
“Takut angan-angan setinggi langit, tapi jatuh semula ke dunia realiti.”
Melalui ayat ini pula, gandingan yang lazim digunakan ialah “langit dan bumi” tetapi pengarang menggandingkan ‘langit’ dengan “dunia realiti” yang jarang diketemukan dalam mana-mana karya pengarang lain. Yang menariknya pada frasa ini adalah ketepatannya menginjak analogi dengan logik fiksyen. ‘Angan-angan’ bukanlah sesuatu yang konkrit maka pergerakannya ke atas menuju ‘langit’ tidak sesuai digandingkan dengan frasa “jatuh ke bumi”. Pengarang terkesan mencermati sifat angan-angan itu sekali gus memadankan ia dengan analogi yang lebih sesuai, iaitu jatuhnya sesuatu yang bersifat abstrak itu haruslah berpaksikan sesuatu yang abstrak juga, iaitu “dunia realiti”.
“Dalam kamar usang itu, masing-masing memasang mata ke siling.”
Menarik untuk diperkatakan di sini tentang perbuatan “merenung siling” boleh diperbaharui pengucapannya dengan frasa “memasang mata ke siling”. Jika ditelusuri konteks frasa itu dengan teliti, kita akan melihat suatu analogi substantif (penekanan pada inti analogi), iaitu perbuatan “memasang mata ke siling” itu sendiri melibatkan suatu perbuatan yang memerlukan kita meletakkan pandangan ke siling untuk suatu tempoh yang lama. Ia bukan lagi sekadar perbuatan “merenung” tetapi diladeni perbuatan tersirat, iaitu “mengelamun”. Dalam erti kata lain, perbuatan “memasang mata” merupakan suatu perbuatan yang menuntut suatu durasi meski perbuatannya agak minimum geraknya. Kebijaksanaan pengarang menggandingkan perbuatan “memasang mata” dengan “mengelamun” terserlah dalam penggunaan ayat tersebut.
“Kalau diproses perasaannya ketika ini, cukup untuk mengalahkan Secukup Rasa Adabi yang selalu digunakan oleh isterinya.”
Frasa ini mengingatkan saya pada suatu petikan ayat daripada novel Sekurun Mencari Sinar tulisan Ruhaini Matdarin yang berbunyi seperti berikut:
“Kita ahli perniagaan, kita bukan selebriti,” jawab Encik Tamam dengan nada tinggi sehingga hidungnya terangkat macam riak wajah Ahmad Nisfu dalam babak uji bakat filem Seniman Bujang Lapok sewaktu memarahi Sudin.
Penggunaan perumpamaan yang begitu rinci menghadirkan imej khusus di dalam kepala. Memandangkan imejnya begitu rinci dan juga sedikit lucu, ia menghadirkan suatu perspektif yang tersendiri kepada pembaca ketika menelusuri teks tersebut.
Namun begitu, Elwee Fred tidak mengembangkan lagi stail teks sebegini seperti yang Ruhaini Matdarin lakukan dalam teks panjang novel Sekurun Mencari Sinar. Konsistensi menggunakan stail teks ini menghadirkan suatu cetusan rasa yang unik, iaitu kejengkelan dan keseriusan nada penceritaan dibaur lelucon merencahi naratif keseluruhan teks. Pastilah keterbatasan jumlah perkataan menjadi puncanya. Saya berharap Elwee Fred dapat mengembangkan lagi stail teks begini dalam karya-karya panjang seperti novel atau novela pada kemudian harinya.
Jika saya mahu berwenang berpuas hati dan meneroka segenap pengertian Hari Raya dan makna kekeluargaan, tidaklah mudah untuk ditemui ruang pembaikan yang barangkali boleh diterokai pengarang ini.
Pertama sekali, dapat dilihat terdapat beberapa perkara dari segi pemilihan perkataan untuk menggambarkan sesuatu keadaan. Bahasa Melayu memang diketahui umum mempunyai banyak perkataan yang mendukung makna yang seolah-olah seerti, tetapi hakikatnya mempunyai konteks penggunaan dalam keadaan yang berbeza.
“Hati ibu mana yang tidak sakit apabila anak seakan berpaling tadah daripadanya, mengutamakan tugas dunia daripada tugas hakiki seorang anak.”
Konsep “berpaling tadah” di sini agak janggal. Kelazimannya, konteks dalam konsep “berpaling tadah” membawa konotasi pengkhianatan terhadap kesetiaan melibatkan dua pihak yang asalnya mempunyai perjanjian ataupun kesepakatan. Dan peralihan kesetiaan ini biasanya beranjak kepada suatu pihak yang setara sifatnya. Peralihan keutamaan tugas dunia daripada tugas hakiki seorang anak tidak sesuai digandingkan dengan “berpaling tadah”. Hal sebegini hakikatnya sukar dipupuk dalam kepengarangan memandangkan ia dibina berdasarkan bahan pembacaan yang baik. Soalnya, bagaimanakah cara memupuk pembacaan yang baik ketika dunia perbukuan sarat dengan pelbagai naskhah sastera yang berbeza standard dan gaya bahasa? Dalam erti kata lain, Elwee Fred harus mendepani suatu pengalaman pembacaan diladeni kepekaan terhadap kecermatan penggunaan perkataan yang seakan-akan mirip makna tetapi berbeza konteksnya. Namun, Elwee Fred kelihatannya cermat menenggelamkan kelemahan ini dengan perkataan ‘seakan’ di hadapan frasa “berpaling tadah” tersebut.
Kedua, menyentuh hal konsistensi. Kerja mengarang fiksyen menuntut kelonggaran dalam penggunaan tatabahasa. Seorang pengarang tidak semestinya patuh pada undang-undang tatabahasa untuk menyedapkan ceritanya. Sebagai contoh, terdapat perdebatan dalam penggunaan kata ‘ianya’ yang secara peraturan tatabahasanya, perkataan itu tidak tepat dan tidak wajar digunakan sama sekali. Ataupun ramai yang masih tidak selesa dengan penggunaan perkataan ‘sosok’ dengan ‘susuk’ daripada konteks maknanya yang sebenar. Namun dalam konteks cerpen ini, saya tidak mempersoalkan kesalahan tatabahasa yang dimaafkan selagi ia konsisten digunakan. Oleh yang demikian, saya ingin memetik dua ayat berikut daripada cerpen “Syawal”:
Wanita tua itu mendongakkan kepala cuba menelaah raut wajah suaminya yang terkesan tenang. Wanita tua itu mengangguk membetulkan kata suaminya.
Frasa “mendongakkan kepala” tidak perlu ditulis begitu kerana lazimnya perbuatan mendongak memang membabitkan kepala dan bukannya anggota badan yang lain. Memadailah dengan “mendongak” sahaja. Namun, pengarang tampaknya tidak konsisten memperjuangkan kelewahan itu kerana perbuatan “mengangguk” tidak disertakan dengan perkataan “kepala” selepasnya.
Bertitik tolak dari sini, saya tetap percaya bahawa terdapat suatu titik keseimbangan antara penggunaan lesen puitika dengan penggunaan tatabahasa yang tepat. Dalam erti kata lain, dua ayat yang saya petik selaku contoh pastilah lebih elok ditulis jika seperti berikut:
Wanita tua itu mendongak cuba menelaah raut wajah suaminya yang terkesan tenang. Wanita tua itu mengangguk membetulkan kata suaminya.
Namun saya fikir wajar untuk saya ketengahkan isu konsistensi ini kerana ia menggambarkan keyakinan pengarang dalam menggunakan pemahamannya terhadap penyimpangan makna sesuatu perkataan daripada rukun bahasa. Keyakinan inilah jua yang akan menjadi teras keenakan gaya bahasa pengarang.
Secara keseluruhan, “Syawal” merupakan sebuah realisme manis yang mengangkat komersialisme perayaan di Malaysia. Di sebalik naratif pop mirip iklan-iklan Hari Raya terbitan konglomerat-konglomerat Malaysia, Elwee Fred menyembunyikan ‘kukunya’ dalam kepetahan mengatur naratif yang menyimpan falsafah kata-kata. Tidak mustahil dengan gaya kepengarangan yang sedia ada asli ini, Elwee Fred akan pergi jauh dalam dunia kesusasteraan negara.