KUCHING: Ketika umat Islam kini sedang bersiap sedia untuk menyambut Ramadan, sembilan orang dalam sekeluarga menerima ujian awal apabila kediaman mereka di Kampung Ulu Sungai Sinjan di sini musnah dalam kebakaran Khamis lalu.
Kini, mereka tinggal sehelai sepinggang dengan hanya bantuan bekalan makanan dari Ketua Kampung dan Jabatan Kebajikan.
Mangsa, Rosnani Gulong, 47, berkata, tiada satu pun barangan yang berharga sempat diselamatkan.
“Sofa, perabot, pakaian dan banyak lagi. Semuanya hangus dalam kebakaran. Kini kami sekeluarga tinggal bersama kakak kandung saya.
“Namun, kami tidak selesa tinggal di rumah orang lain. Oleh itu, mungkin suami saya akan mendirikan pondok untuk kami sekeluarga menetap sementara.
“Saya anggarkan lebih kurang RM300,000 kerugian kami sekeluarga alami,” katanya ketika ditemui pemberita Utusan Sarawak.
Apa yang lebih menyedihkan, beliau yang satu ketika dahulu pernah menjual kuih di Hospital Umum Sarawak (HUS) kini hilang mata pencarian sejak anak perempuannya yang bekerja sebagai jururawat di HUS kini berpindah ke Sibu untuk menjalani kursus.
Menurutnya, suaminya yang bekerja sebagai tukang kayu juga tidak mempunyai pendapatan tetap, manakala salah seorang anaknya berhenti kerja minggu lalu dan seorang lagi anaknya masih mengangur.
Beliau berharap, semoga ada sinar di hujung lorong gelap.
“Saat ini, harapan saya bagaikan rumah saya juga, sudah menjadi abu. Namun, saya percaya ada hikmah disebalik semua yang terjadi ini dan hidup harus diteruskan walau apa pun yang terjadi,” katanya.
Diharapkan semoga ada pihak tampil memberi bantuan lebih-lebih lagi Hari Raya menjelang tiba.
Oleh SHAHRUL QAIZAT