Oleh JAWA ANAK MANGGAU
MEMANG benar orang kata, apabila ajal hampir tiba kita akan ingin lebih dekat dengan Tuhan. Satu ketika dahulu aku sangat jauh dari Tuhan walaupun aku beragama Kristian. Aku percayakan Tuhan tapi agama yang aku anuti ibarat kulit saja sebab tiada isinya di dalam jiwaku. Aku tidak mengikut perintah dan ajaran agamaku. Aku sangat jarang sekali memijakkan kaki ke rumah ibadat. Kini semuanya sudah terlambat, bak kata orang manikam sudah menjadi sekam. Tidak lama lagi ajal akan menemui aku, cuma menghitung detiknya saja.
“Apa permintaan terakhir kamu?” Tanya pegawai penjara.
“Tuan aku ingin membuat pengakuan. Aku minta seorang paderi untuk menemani aku selama beberapa detik. Aku ingin meluahkan segala yang terbuku dalam jiwaku. Aku minta izinkan dia merakamkan segala percakapanku. Aku mahu rakaman itu akan disampaikan kepada keluargaku dan orang yang aku sayang. Biar dia ajari aku bagaimana menghadapi maut. Biar hatiku tenang. Aku memohon untuk memakai pakaian yang serba putih. Aku juga minta dihidangkan makanan yang sederhana saja untuk mengisi perutku buat kali yang terakhir.” Begitu permintaan terakhirku.
Malam itu datang seorang paderi menemui aku. Aku tidak tahu jam berapa ketika itu. Jeriji besi menjadi perantaraan kami. Kami hanya ditemani meja, kerusi dan cahaya lampu yang malap memancar ke arah kami saja. Keadaan amat tenang dan sunyi tetapi hati aku sangat pilu.
“Aku Paderi Tom. Nama saudara siapa?” Tanya paderi itu memperkenalkan diri sambil menghidupkan telefonnya dalam mod rakaman.
“Namaku Baki, aku keturunan Iban. Sudah tiga tahun aku menghuni penjara ini. Malam ini adalah malam yang terakhir aku bernafas dalam dunia. Tidak lama lagi ajal aku akan tiba. Tolong aku dekati Tuhan biar hatiku tenang. Biarlah aku ceritakan apa yang sebenarnya berlaku dalam hayatku yang sudah. Biar paderi ceritakan kebenaran ini nanti. Biar semua orang tahu kerana bangkai seekor gajah tidak bisa ditutupi dengan nyiru. Aku tidak mahu kematianku ibarat mati enau tinggal di rimba. Semoga satu hari nanti aku tidak dipandang hina untuk selama-lamanya. Berdoalah untukku kepada Tuhan di atas sana, minta supaya semua dosa-dosaku diampunkan-Nya.” Kata nada sayuku kepada paderi.
“Baiklah saudara Baki, aku akan berdoa untuk kamu sebelum hukuman kamu dijalankan. Ceritakan kepada aku apa yang sudah berlaku,” kata Paderi Tom.
“Aku adalah anak sulung daripada tiga beradik. Dua orang adikku adalah laki-laki. Ketika itu umurku baru 25 tahun. Bapaku bernama Ragai dan emakku bernama Gedik. Aku belajar setakat tingkatan 5 saja. Aku sudah bertunang dengan gadis pilihanku. Aku seorang yang rajin bekerja, pendiam dan sangat menghormati serta taat kepada kedua orang tuaku,” kataku kepada Paderi Tom sambil merenung ke arahnya.
Aku menyambung ceritaku lagi sambil membetulkan cara aku duduk di atas kerusi.
“Kami sekeluarga tinggal di sebuah rumah yang didirikan di atas sebidang tanah peninggalan arwah datuk aku. Sudah lebih 80 tahun keluarga aku mewarisi rumah dan tanah itu. Ia berkeluasan 5 hektar. Di situ keluarga aku menanam kelapa sawit, getah dan pokok buah-buahan sebagai sumber rezeki kami.” ceritaku kepada Paderi Tom.
Tiba-tiba datang seorang warden penjara membawa makanan yang aku minta. Aku juga diberi sepasang baju lengan panjang dan sepasang seluar panjang. Semuanya serba putih. Perbualan kami terhenti seketika. Aku menjemput Paderi Tom untuk makan bersama tapi dia menolak. Ketika makan aku pun menyambung cerita lagi.
“Kami sekeluarga hidup sederhana dan bahagia. Aku sangat sayangkan keluargaku. Dalam menjalani kehidupan kami sentiasa bersatu. Walaupun kadangkala ada berlaku sedikit perselisihan faham. Tapi itu perkara biasa dalam kehidupan kami. Bak kata pepatah, air yang dicincang takkan putus. Begitulah hubungan aku dan ahli keluargaku.” Aku terdiam seketika sambil meneguk air minuman.
Walaupun perut aku lapar tapi aku tidak berselera untuk makan. Makanan yang dihidangkan sangat enak. Sudah lama aku tidak merasa makanan seperti itu. Sekali sekala air mata aku mengalir keluar sambil aku kesat dengan lengan bajuku.
“Pada bulan Mac 2017, seorang wakil dari sebuah syarikat peladangan menemui bapaku. Dia menyatakan bahawa tanah warisan yang telah kami diami sekian lama sudah menjadi milik mereka. Kami sekeluarga terkejut mendengar berita itu. Bapaku tidak berpuas hati dan mendapatkan kepastian dari Jabatan Tanah dan Ukur. Pegawai di jabatan itu memberitahu bahawa tanah di sekitar itu akan dimajukan untuk tanaman kelapa sawit, termasuklah tanah warisan kami itu.” Aku terdiam lagi.
Air mata aku mengalir keluar lagi. Terbayang-bayang wajah emak dan adik-adikku. Aku merindui mereka semua. Hatiku terasa pilu bila teringatkan arwah bapaku. Dia meninggal dunia beberapa bulan yang lalu akibat terlalu tertekan mengenangkan nasib aku. Berita sedih itu telah disampaikan oleh adikku ketika melawat aku bulan lepas. Dahulu aku adalah harapan bapaku untuk membimbing adik-adikku. Mereka masih lagi anak dalam tanggungan ketika ini. Kini mereka terpaksa berdikari sendiri untuk meneruskan kehidupan.
“Kami diberikan notis selama sebulan untuk berpindah. Bapaku sering kali turun naik Jabatan Tanah dan Ukur serta Pejabat Daerah memohon pembatalan pengambilan tanah itu. Tetapi usahanya gagal tidak menunjukkan perkembangan yang positif. Sebaliknya kami dipaksa untuk berpindah secepat mungkin. Pihak syarikat itu ada memberi pampasan tetapi ia tidak setimpal dengan nilai tanah kami. Ia hanya berupa sagu hati saja.” Aku terdiam lagi sambil menutup mukaku dengan kedua belah tapak tangan.
“Kenapa dunia ini selalu berlaku tidak adil terhadap manusia seperti kami? Kami orang susah dan tidak mempunyai kuasa untuk menghalang semua itu. Sudah berpuluh tahun kami mewarisi tanah pusaka itu. Cuba bayangkan betapa sukarnya nenek moyang kami meneroka dan membuka tanah itu dahulu. Mereka berharap itulah harta tempat anak cucu mereka meneruskan kehidupan di masa hadapan.” Aku meluahkan kekesalanku.
“Orang yang mempunyai wang senang saja mempengaruhi pihak yang berkuasa. Manusia yang berkuasa berperwatakan tamak seperti binatang buas. Sikap inilah menyebabkan rakyat yang miskin akan terus ditindas. Mereka mementingkan diri sendiri saja. Mencari kekayaan tanpa memikirkan kesan terhadap orang lain. Kalau mereka di tempat kami barulah mereka merasa apa yang kami alami. Segelintir orang kaya mengambil tanah orang lain ibarat memilih baju. Tunjuk saja di atas peta di mana tanah yang mereka inginkan. Dengan kuasa wang, tidak sampai satu minit semua itu menjadi hak mereka. Begitu senang mereka mencuri hak orang lain.” Terkeluar rasa geram dari hati kecilku.
Lama aku membisu. Kepiluan terus menyelubungi hati aku seperti awan hitam menutupi langit yang putih. Hatiku ketika ini diibaratkan ditiarap tiada keluar, ditelentang tiada masuk. Sukar digambarkan perasaanku menghadapi detik-detik akhir yang paling sulit ini. Aku tidak dapat menahan perasaan piluku lalu menangis. Paderi itu memegang tanganku.
“Tenang saudara. Sila sambung cerita kamu. Aku berjanji akan menceritakan kebenaran yang kamu ceritakan kepadaku.” Kata Paderi Tom sambil cuba menenangkan perasaanku.
“Permintaan kami tidak banyak. Hanya sebidang tanah luasnya sekangkang kera. Kami minta di situ didirikan sebuah rumah tempat kami tinggal. Kami juga memohon nilai pampasan ditambah sedikit lagi. Tapi permintaan kami tidak diendahkan. Cuba bayangkan keuntungan yang bakal mereka perolehi kelak jika dibandingkan dengan apa yang kami minta. Jadi macam mana kami mahu meneruskan kelangsungan hidup?” Kataku seperti meminta penjelasan dari Paderi Tom.
Aku menyambung keluhan hati aku lagi.
“Kalau kami dihalau di mana tempat kami berteduh? Membina rumah memerlukan masa bertahun-tahun. Kami orang susah tiada duit yang banyak untuk menampung semua itu. Selama ini tanah dan tanaman itu saja tempat kami bergantung.” Kata aku dengan nada yang marah bercampur pilu.
Aku terdiam lagi. Hatiku bagaikan digores dengan sembilu tajam. Jiwa aku sebak memikirkan nasibku, emak dan adik-adikku. Kemungkinan sekarang mereka menumpang di rumah saudara sebelah emak. Sudah pasti mereka sedang bersedih meratapi pemergian bapa dan aku nanti.
“Satu hari kami didatangi oleh lima orang suruhan syarikat itu. Mereka berbadan tegap dan bertatu. Mereka bersenjatakan parang dan membawa pemukul bola besbol. Mereka memaksa kami untuk mengosongkan rumah dengan segera. Mereka membuat kacau dan provokasi. Banyak harta benda kami dirosakkan. Bapa aku cuba menghalang dan merayu tapi tidak berdaya. Aku tidak boleh berbuat apa-apa kerana bapa sudah pesan supaya tidak masuk campur. Sebelum mereka beredar, mereka mengugut kami. Mereka akan datang semula sekiranya kami belum berpindah dari tanah pusaka itu.” Ceritaku kepada Paderi Tom.
Aku membisu seketika. Mataku dipejamkan. Kepalaku ditundukan ke bawah. Dengan perlahan-lahan aku menggeleng-gelengkan kepala. Air mataku terus mengalir di pipi dan menitik membasahi meja.
“Pukul berapa sekarang Paderi Tom?” Tanyaku
“Hampir pukul 12.00 tengah malam saudara.” Jawab Paderi Tom.
“Terasa pendek malam ini, paderi.” Balasku.
Walaupun sudah lewat malam tapi mataku tidak mengantuk. Aku sudah tidak ada hati mahu tidur. Sesudah saat ini nanti jasad aku akan tidur untuk selama-lamanya. Jasad itu akan membusuk dan hancur dimakan tanah. Tapi aku percaya rohku akan bangkit. Di akhirat roh itu akan diadili terlebih dulu sama ada menetap syurga atau pergi ke neraka. Aku berdoa dan berharap roh aku akan duduk di syurga, di sebelah Tuhan dan para malaikat. Ketika ini aku ingin menikmati masa di dunia ini buat kali yang terakhir meskipun di dalam bilik pasungan.
“Kuatkan imanmu saudara Baki. Sekarang ini aku mahu saudara menempatkan Tuhan di dalam hati kamu. Kosongkan mindamu. Terimalah kehadiran-Nya supaya kamu pergi dengan tenang subuh nanti. Jangan takut kalau kamu berpegang dan percaya pada Tuhan dengan sepenuh hatimu. Dia pasti akan bersamamu. Berdoalah sebelum hukuman dijatuhkan terhadap kamu nanti. Tuhan sentiasa mengampunkan orang yang bersalah. Apa lagi kalau kamu menyerahkan seluruh jiwa dan raga kamu kepada-Nya.” Kata Paderi Tom.
Aku menganggukkan kepala tanda faham. Aku menyambung cerita aku lagi.
“Seminggu selepas itu mereka datang lagi ke rumah kami. Mereka bertindak lebih keras lagi. Mereka terus merosakkan harta benda kami. Dua buah motosikal kami dibakar. Salah seorang daripada mereka cuba membakar rumah kami tetapi sempat dihalang oleh bapaku. Dalam kejadian itu bapaku telah dipukul dan ditendang dengan teruk sekali. Beberapa kali bapaku jatuh dan dia merayu kepada mereka meminta belas kasihan. Tapi rayuan itu tidak dipedulikan sehingga dia menjadi tidak bermaya lagi.” Aku terdiam seketika menahan sebak.
“Melihat keadaan itu aku telah hilang sabar. Jiwaku mulai tidak terkawal lagi. Aku sudah tidak ingat lagi pesanan bapaku untuk tidak campur tangan. Bentuk fizikal mereka yang besar dan sasa sudah kelihatan kecil di mataku. Aku seperti sudah dirasuk oleh syaitan. Aku sudah tidak sanggup melihat bapaku diperlakukan sedemikian. Aku melihat sekelilingku dan ternampak sebatang kayu Belian sebesar lengan kira-kira sedepa panjangnya. Aku ambil kayu itu dan berlari ke arah mereka. Di situ aku menghayunkan kayu itu sekuat hatiku sambil badanku berpusing-pusing,” percakapanku terhenti di situ.
Aku seolah-olah tidak sanggup untuk menyambung ayat seterusnya.
“Tanpa aku sedari kayu itu telah mengenai kepala salah seorang daripada mereka. Kepalanya berdarah dan jasadnya rebah di situ. Ketika itu juga saudara-saudara kami dari rumah panjang yang berdekatan datang untuk membantu. Keadaan menjadi kelam kabut. Empat daripada lima orang samseng itu telah melarikan diri. Seorang tersungkur dan tidak bermaya lagi. Dia telah mati akibat terkena pukulan dari kayu aku itu.” Kataku kepada Paderi Tom dengan penuh rasa kesal.
Aku menutup mukaku dengan kedua-dua belah tangan sambil menunduk ke bawah. Air mataku mengalir lagi bila mengenangkan peristiwa itu. Peristiwa yang tidak dijangka berlaku di dalam kehidupan aku. Tanpa disedari aku menangis tersedu-sedu seperti budak kecil. Paderi Tom memegang tanganku dia cuba menenangkan keadaan.
“Kes itu telah dibawa ke mahkamah. Aku telah didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian. Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. Aku telah dibicarakan. Kami sekeluarga tidak mampu mengupah peguam. Aku disuruh membela diri dan aku didapati bersalah. Keluarga aku sudah merayu tapi rayuan telah ditolak. Tiada seorang pun yang tampil cuba membantu keluargaku untuk menolong membebaskan aku.” Luahan dari hatiku dengan nada yang kesal.
Paderi Tom menganggukkan kepalanya. Aku lihat beberapa titik air matanya mengalir keluar. Lama aku terdiam dan akhirnya aku bersuara semula.
“Paderi tolong sampaikan salam terakhirku kepada ibu yang aku sayang. Minta dia halalkan makan dan minumku selama ini. Mohon dia ampunkan segala kesalahanku sepanjang hayatku bersamanya. Beritahu pesanku agar dia redha dengan pemergian aku dan jangan terlalu bersedih. Beritahu dia juga supaya jaga kesihatan, makan dan minumnya. Aku amat menyayangimu ibu. Kamulah ibu yang terbaik dalam dunia ini. Kepada adik-adikku, jagalah diri masing-masing dengan baik. Jaga ibu dengan baik. Jadilah manusia yang berguna satu hari kelak. Aku sayang kepada kamu semua. Aku memohon kepada mereka supaya jangan bersedih di atas pemergian aku ini.”
Aku merenung muka Paderi Tom seketika. Air mataku terus mengalir tanpa henti.
“Kepada Lulong, tunangku yang aku sayangi, aku sangat mencintai kamu. Tiada kata-kata yang terindah untuk menggambarkan perasaan cintaku kepadamu sayang. Maafkan aku kerana melakukan kesalahan yang tak disengajakan. Percayalah aku memang tak berniat langsung melakukan kesalahan ini. Sesudah ketiadaan aku di dunia ini carilah pengganti yang jauh lebih baik dari aku. Jangan bersedih sayangku. Usiamu masih muda dan hidup mesti diteruskan. Hapuskan kenangan cinta antara kita berdua. Aku tahu kamu kuat. Mungkin ini sudah ditakdirkan oleh Tuhan. Selamat tinggal ratu hatiku.”
Kami sama-sama membisu. Seorang warden penjara datang dan memberitahu kepada aku bahawa paderi ada masa 15 minit lagi untuk menemani aku.
“Jam berapa sekarang paderi?” Tanyaku.
“Pukul 3.30 pagi saudara.”Jawab Paderi Tom.
“Pukul 5 subuh nanti hukuman akan dijalankan. Paderi sekarang masanya untuk kamu berdoa untukku.” Sambil aku menghulurkan tangan meminta Paderi Tom memegangnya.
Selepas berdoa untuk aku Paderi Tom pun beredar. Aku dibiarkan bersendirian di dalam bilik kerana itu yang aku minta. Aku menukar pakaianku dengan pakaian yang serba putih yang telah disediakan. Aku mengenangkan saat yang indah dalam hidupku dulu. Apabila teringat masa-masa yang melucukan aku tersenyum sendiri. Aku terkenangkan masa kecilku dan masa remaja. Terbayang saat indah bersama keluargaku. Saat kami bergurau senda dan ketawa bersama. Aku teringat saat aku bertemu dengan kekasihku. Saat indah kami ketika bercinta. Semua itu takkan aku lupakan. Kalau boleh aku ingin kekal menyimpan semua kenangan itu walaupun aku sudah mati.
Tiba-tiba datang tiga orang warden penjara. Kedatangan mereka membuat lamunan aku terhenti.
“Banduan no. 2338 tolong ikut kami. Tolong hulurkan tangan kamu keluar dari lubang pintu. Kami akan menggari tangan dan kaki kamu. Masa untuk kamu dijatuhi hukuman sudah tiba.”Kata salah seorang daripada mereka dengan nada yang tegas.
Aku diam. Aku mengikut saja arahan mereka. Pintu jeriji besi itu dibuka dan aku melangkah keluar. Dua orang Warden Penjara memegang lenganku di sebelah kanan dan kiri. Kaki aku melangkah lemah. Dalam hati aku terus berdoa kepada Tuhan. Aku kuatkan semangat untuk menghadapi maut. Mata aku terpejam. Aku pengsan.