
BETONG: Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai ke Program Ceramah Perdana bersama Ustaz Dr Abdullah Khairi Haroon yang akan diadakan pada 8 November ini bertempat di Pekarangan Masjid Jamek Betong.
Menurut jurucakap penganjur, program yang dijadualkan bermula 8.15 malam itu merupakan anjuran Lembaga Khairat dan Amanah Melayu Betong (LKAMB) dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Jamek Betong serta Persatuan Penduduk Kampung Melayu Betong (PPKMB).
Beliau berkata, program berkenaan akan menampilkan pengisian berbentuk motivasi dan kerohanian yang sesuai untuk segenap lapisan masyarakat bagi memperkukuh keimanan serta semangat hidup berlandaskan nilai Islam.
“Datanglah beramai-ramai untuk sama-sama menimba ilmu, memperkukuh iman dan mendapatkan suntikan semangat rohani daripada penceramah terkenal tanah air yang juga penulis buku motivasi Islamik ‘Insan Rabbani Pelajar Cemerlang’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ustaz Dr Abdullah Khairi juga merupakan Pengasas dan Pengetua Maahad Tahfiz as-Syafie (MATAS) iaitu pusat tahfiz sukan pertama di Malaysia, selain aktif dalam bimbingan haji dan umrah serta program motivasi pelajar di seluruh negara.
Penganjur turut mengajak masyarakat setempat untuk tidak melepaskan peluang menghadiri ceramah tersebut sebagai satu wadah memperkukuh ukhuwah dan kefahaman Islam.
“Bawalah keluarga serta sahabat handai agar majlis ilmu ini menjadi asbab keberkatan dan kerahmatan buat kita semua,” tambah kenyataan itu.
Oleh Adi Safarman