

SARIKEI: Penduduk rumah panjang diberi pendedahan awal mengenai langkah pencegahan kebakaran sempena musim perayaan menerusi aktiviti rondaan dan program kesedaran keselamatan kebakaran yang dijalankan oleh pihak bomba semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Vincent Baling berkata, program tersebut bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat khususnya penduduk rumah panjang mengenai risiko kebakaran dan langkah keselamatan yang perlu diambil ketika musim perayaan Hari Gawai Dayak.
“Program tersebut bermula 9.30 pagi hingga 11.00 pagi dan melibatkan pasukan Charlie BBP Sarikei.
“Kesedaran awal mengenai aspek keselamatan kebakaran amat penting bagi membantu mengurangkan risiko kejadian yang tidak diingini terutama di kawasan rumah panjang,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, dua rumah panjang terlibat dalam program tersebut iaitu Rumah Juliana Lebay yang mempunyai 14 pintu rumah dan Rumah Sumpun Rampai yang melibatkan 49 pintu rumah.
“Antara pengisian utama program termasuk ceramah bahaya kebakaran, tatacara penggunaan alat pemadam api dan penerangan mengenai langkah awal mengelakkan kebakaran.
“Penduduk turut diberikan penerangan mengenai tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran bagi memastikan keselamatan penghuni rumah panjang sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambahnya, pendekatan turun padang secara langsung membolehkan pihak bomba mendekati masyarakat selain menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan kebakaran dengan lebih berkesan.
“Kami akan terus menjalankan rondaan dan program kesedaran keselamatan kebakaran dari semasa ke semasa bagi memastikan masyarakat sentiasa peka terhadap aspek keselamatan terutama menjelang musim perayaan,” katanya lagi.
Oleh Earl Anek