
MIRI: Program penuh makna sempena Minggu Silaturahim anjuran ADTEC JTM Kampus Miri telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Kuliah Utama ADTEC Miri, baru-baru ini.
Menariknya, program ini turut dimeriahkan dengan kehadiran khas wakil dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak yang dijemput untuk menyampaikan ceramah berkaitan keselamatan jalan raya.
Penyampaian ceramah oleh Mohd Ferdy Jamal dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Cawangan Miri telah menjadi antara momen yang paling berkesan dalam program tersebut.
Dengan gaya yang santai namun penuh berinformasi, beliau berjaya menarik perhatian para peserta dan menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara berkesan.
Beliau menekankan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan di jalan raya tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu pihak berkuasa.
Sebaliknya, setiap individu tanpa mengira usia atau latar belakang perlu memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran jalan raya yang lebih selamat.
Program ini membuktikan bahawa kolaborasi strategik antara JPJ Sarawak dan ADTEC JTM Kampus Miri mampu memberi impak besar dalam melahirkan generasi yang lebih peka terhadap isu keselamatan jalan raya.
Para pelajar bukan sahaja mendapat pendedahan ilmu yang bermanfaat, malah turut menyahut cabaran sebagai duta keselamatan jalan raya bagi masa depan negara.