
BINTANGOR: Seramai 113 peserta terdiri daripada pelajar dan guru menyertai program ceramah kerjaya bomba di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintangor, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program yang bermula pada 10.30 hingga 11.30 pagi tersebut memberi pendedahan kepada pelajar Tingkatan 3 mengenai peranan, tugas dan peluang kerjaya sebagai anggota bomba
“Hadir bagi mengendalikan ceramah adalah pasukan Alpha BBP Bintangor.
“Program ini penting bagi memperkenalkan kerjaya bomba kepada golongan muda, sekali gus menarik minat mereka menyertai pasukan keselamatan pada masa hadapan.
“Melalui ceramah ini, kita memberi penerangan kepada pelajar mengenai kerjaya sebagai anggota bomba dan peluang penyertaan dalam bidang ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Katanya, program seperti ini bukan sahaja memberi motivasi, malah membantu pelajar memahami kepentingan disiplin, keberanian dan tanggungjawab dalam pekerjaan sebagai anggota bomba.
“Program turut melibatkan sesi interaksi bersama pelajar bagi menjawab pertanyaan berkaitan kerjaya bomba.
“Aktiviti berjalan dengan lancar dan mendapat penyertaan aktif daripada pelajar.
“Saya berharap program ini dapat membuka perspektif baharu dalam kalangan pelajar terhadap peranan penting pasukan bomba dalam menjaga keselamatan masyarakat,” katanya.
Oleh Earl Anek