
LAWAS: Kemudahan latihan kemahiran yang ditawarkan oleh CENTEXS Lawas adalah selari dengan keperluan ekonomi baharu yang digariskan oleh kerajaan Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata bahawa pusat latihan ini bukan sahaja terbuka kepada anak-anak dari Limbang dan Lawas, tetapi juga kepada seluruh rakyat Sarawak serta penduduk dari daerah berdekatan di negeri jiran, Sabah.
Sebanyak 21 kursus jangka pendek, sederhana dan panjang ditawarkan di CENTEXS Lawas, merangkumi latihan kemahiran dalam sektor elektronik, pertanian, penternakan, kejuruteraan, fesyen dan teknologi.
Apa yang menarik mengenai CENTEXS ini ialah ia mempunyai kerjasama dengan beberapa syarikat, antaranya dalam bidang ekonomi digital bersama Huawei dari China, serta pelbagai universiti lain. Selain itu, CENTEXS turut menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat dari dalam dan luar negara,” katanya.
“Jadi, mereka juga akan meneroka bidang ekonomi aeroangkasa. Ini adalah antara fokus utama kami, dan apa yang ditawarkan adalah selaras dengan tumpuan kerajaan dalam membangunkan negeri Sarawak,” katanya selepas melakukan lawatan kerja ke CENTEXS Lawas dan Klinik Kesihatan Lawas di Banting kelmarin.
Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Residen Bahagian Limbang Unus Tambi dan kenamaan tempatan lainnya.
Oleh Adeng Edrus