
LAWAS: Penubuhan Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Lawas disifatkan sebagai pemangkin penting dalam pembangunan modal insan berasaskan teknologi tinggi, sekali gus menyinari masa depan kawasan utara Sarawak.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata penubuhan institusi latihan teknikal itu selaras dengan hala tuju pembangunan negeri dalam memacu ekonomi digital, teknologi hidrogen dan pelbagai inisiatif hijau masa depan.
“Dengan adanya CENTEXS Lawas, masa depan Lawas lebih cerah. Kita mahu melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang baharu seperti ekonomi digital dan hidrogen. Ini selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi wilayah maju seperti Bavaria di Jerman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kampus CENTEXS Lawas, hari ini.
Abang Johari menegaskan bahawa Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) bukan sahaja memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi, tetapi juga memastikan kelestarian alam dan pemerkasaan pendidikan teknikal.
“Dua perkara penting dalam dasar kita membangunkan bakat anak Sarawak dan menjaga alam sekitar. Kedua-duanya mesti berjalan seiring,” ujarnya.
Beliau turut berkongsi tentang dasar ekonomi hidrogen baharu yang sedang dibentuk berdasarkan kekuatan Sarawak sebagai negeri yang kaya dengan sumber air.
“Kita boleh hasilkan hidrogen dengan kos rendah melalui penyelidikan dan inovasi saintis muda Sarawak sendiri. Ini adalah kebanggaan kita,” katanya.
Dalam aspek kelestarian, Sarawak juga memperkenalkan pelan tindakan untuk mengurangkan pelepasan karbon dan memperkenalkan undang-undang guna semula bahan buangan sebagai produk ekonomi baharu.
Sebagai Pengerusi Yayasan Sarawak, Abang Johari mengumumkan bahawa CENTEXS Lawas kini ditetapkan sebagai pusat kemahiran utama di utara Sarawak, berdasarkan lokasinya yang strategik berdekatan Brunei dan Sabah.
“Kita lihat potensi besar di sini. CENTEXS Lawas juga berupaya menarik pelatih dari seluruh wilayah Kepulauan Borneo,” jelas beliau.
Sebagai galakan kepada pembangunan berterusan, Premier Sarawak turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM110 juta untuk perluasan kemudahan dan infrastruktur kampus, termasuk menjadikan CENTEXS Lawas sebagai pusat perdagangan serantau.
“Kita mahu Lawas menjadi hab kemahiran dan perdagangan berimpak tinggi di utara,” katanya.
Penubuhan CENTEXS Lawas bukan sahaja mencerminkan komitmen Sarawak terhadap pembangunan modal insan, tetapi turut menjanjikan masa depan cerah kepada generasi muda melalui pendidikan teknikal berteraskan inovasi, penyelidikan dan kelestarian.
Turut hadir Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, serta Pengerusi CENTEXS, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani.
Oleh Adeng Edrus