
SANTUBONG: Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) dan Biro Wanita SABERKAS diyakini menjadi platform penting dalam usaha memperkasakan wanita negeri ini melalui pembangunan kemahiran, kepimpinan serta keusahawanan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan, merangkap Pengerusi Biro Wanita SABERKAS, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata kerjasama strategik tersebut selari dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk melahirkan masyarakat inklusif dan berdaya tahan menjelang 2030.
“Wanita hari ini bukan sahaja memainkan peranan penting dalam institusi keluarga malah turut menjadi penggerak ekonomi dan agen perubahan dalam masyarakat. Justeru, memperkasakan wanita merupakan langkah tepat ke arah menjayakan agenda pembangunan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani MoU itu di Smart Auditorium, CENTEXS Santubong, hari ini.

Menurutnya, melalui MoU ini, ahli-ahli Biro Wanita SABERKAS dan wanita di seluruh Sarawak akan berpeluang mengikuti lebih 600 program latihan yang ditawarkan oleh CENTEXS dalam pelbagai bidang berasaskan kemahiran, teknologi, dan pembangunan industri.
Beliau menambah, kerjasama ini memberi fokus kepada tiga bidang utama iaitu kepimpinan dan keusahawanan wanita, inisiatif pemerkasaan komuniti, serta latihan teknikal dan vokasional yang bersesuaian dengan keperluan industri semasa.
“Semangat gotong-royong dan sokongan berterusan daripada Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), kita dapat melahirkan wanita yang berdaya saing, inovatif, dan mampu menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Akademik Industri dan ESG CENTEXS, Dr Nadianatra Musa, menegaskan pihaknya komited menyediakan program latihan yang bersesuaian dengan trend industri terkini, termasuk teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui dan ekonomi digital.
“Setiap modul latihan menekankan kemahiran praktikal dan pembangunan minda keusahawanan. Matlamat kami adalah memastikan wanita Sarawak bukan sahaja menjadi tenaga kerja mahir tetapi juga pencipta peluang pekerjaan dalam komuniti masing-masing,” jelasnya.

Kerjasama ini turut membolehkan peserta dari pelbagai latar belakang, sama ada di bandar atau luar bandar, mendapatkan akses kepada program latihan berkualiti tinggi yang sebelum ini mungkin sukar dicapai.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abdul Rahman menandatangani MoU bagi pihak CENTEXS, manakala Biro Wanita SABERKAS diwakili Setiausaha Agung SABERKAS, Daro, Safiee Ahmad.
Turut hadir ialah barisan kepimpinan Biro Wanita SABERKAS dan pegawai-pegawai kanan CENTEXS.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama ini hanyalah permulaan kepada pelbagai inisiatif yang menumpukan kepada pembangunan wanita, selaras dengan agenda Sarawak Maju Makmur 2030.
“Ini bukan sekadar MoU di atas kertas. Kami mahu melihat hasil nyata melalui program-program yang memberi impak langsung kepada kehidupan wanita Sarawak. Yang penting, kita bergerak seiring dengan visi Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg membina negeri yang maju, inklusif dan berdaya tahan,” tegas beliau.
Oleh Shikin Mahmud