SEMATAN: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu akan menjadi kampus Centexs utama di negeri ini untuk kursus Teknologi Maklumat (IT) dan Augmented reality atau realiti maya (AR).
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Huawei untuk melatih para pelajar mengenai IT dan juga kursus keselamatan siber.
“Kami ingin melatih juruteknik dalam bidang telekomunikasi IT dan 5G di Kampus Centexs Lundu ini.
“Kampus Centexs di Lundu yang sedang dibina ini adalah untuk kursus praktikal, sementara kampus Santubong adalah makmal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan merasmikan Pos Kawalan Sempadan serta Majlis Pecah Tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano di Sematan, semalam.
Ujarnya, Centex Lundu turut akan memiliki kemudahan kediaman untum pelajar tinggal di kampus dan belajar pelbagai kursus yang disediakan termasuk AR.
“Sarawak telah maju dalam bidang IT kerana kini kita banyak menjalankan perniagaan dalam talian, terutama semasa pandemik Covid-19.
‘lni merupakan pelaburan untuk masa depan anak-anak di Lundu dan penduduk sekitar dengan anggaran sebanyak 800 pelajar dalam setahun dapat menjalani kursus jangka pendek yang ditawarkan di sini,” katanya lagi.
Untuk rekod, Kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan berjumlah RM10 juta untuk membangunkan Centexs pada tahun 2015 semasa dibawah pentadbiran Mantan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem.
Pusat teknikal pertama di negeri ini amat penting dalam usaha mentransformasikan bidang kemahiran teknikal dan vokasional di Sarawak selain menawarkan program perantis dan kursus latihan bagi kemahiran yang berkaitan dengan keperluan sektor industri di negeri ini.
Oleh Zarina Abdullah