SIBU: Sebut sahaja ‘Cendol Pulut’ pasti ramai yang membayangkan jeli berwarna hijau yang dicampurkan dengan sirap gula, pulut dan santan yang dihidang sejuk bersama ais kisar.
Lebih menyelerakan apabila hidangan cendol pulut ini ditambah dengan pelbagai jenis buah dan aneka warna manisan yang mampu membangkitkan selera.
Bagaimanapun, rahsia kelazatan sebenar hidangan cendol pulut ini bergantung kepada isi cendol hijau tersebut.
Namun, tidak ramai masyarakat masa kini yang menghasilkan isi cendol hijau sendiri. Malah mereka lebih gemar untuk mendapatkan cendol yang telah siap dihidang di gerai-gerai atau pun di kedai makan.
Menyedari permintaan yang tinggi cendol pulut ini di pasaran, Suhida Shapi-ee, yang berusia 31 tahun meneruskan penghasilan cendol pulut milik keluarganya.
Anak jati Kuching yang kini menetap di Sibu setelah mendirikan rumahtangga ini meneruskan resepi cendol pulut turun-temurun milik keluarganya sejak 2016.
Katanya, kemahiran untuk menghasilkan cendol pulut ini ditimba dari ayahnya sejak berada di bangku sekolah.
“Arwah bapa banyak memberi tunjuk ajar kepada saya tentang cara-cara menghasilkan cendol pulut ini.
“Pada awalnya, cendol saya tidak begitu menjadi. Namun, atas usaha gigih dan latihan yang dilakukan akhirnya saya berjaya menghasilkan hidangan cendol pulut,” katanya kepada pemberita, baru-baru ini.
Ibu kepada tiga cahayamata ini memberitahu, resepi turun-temurun milik keluarganya menjadikan cendol pulut mempunyai keunikan dan rasa yang tersendiri serta kekal menjadi pilihan orang ramai sehingga ke hari ini.
“Kebiasaannya orang menggunakan santan, namun berbeza dengan resepi keluarga saya yang menggunakan susu cair resepi tersendiri bagi menggantikan santan.
“Keenakan rasa cendol pulut ini ditambah lagi dengan sirap gulapong pandan yang direka khas.
“Kelembutan nasi pulut menambahkan lagi kelazatan cendol pulut kami,” ujarnya.
Oleh Nurzilla Mohamad