MUKAH: Prinsip kemakmuran bersama adalah sesuatu yang harus disokong dan diterima oleh semua golongan masyarakat, termasuk di luar bandar.
Justeru, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo, berharap para cendikiawan atau anak kita yang berpendidikan tinggi untuk sama-sama membantu masyarakat setempat ke arah itu.
“Saya tahu di sesebuah kampung atau penempatan itu ada mempunyai orang yang berpendidikan tinggi atau berilmu termasuk yang memperolehi Doctor of Philosophy (PhD) atau Doktor Falsafah. Namun kadang-kadang kita merasa sedih kerana ada juga segelintir kecil di kalangan mereka yang mempunyai kecenderungan untuk mengkritik atau menyindir Ketua Kaum, Penghulu dan sebagainya, termasuk penjawat awam tempatan apabila mereka balik kampung. Alangkah baik untuk mereka menggunakan ilmu mereka itu untuk membantu atau menyumbang dari segi buah fikiran macam mana nak membangun kampung, rumah panjang atau kawasan masing-masing. Kepintaran mereka amat ditagih, terutama kearah merealisasikan pembangunan yang diharapkan dan kemakmuran bersama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Deraf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) 2021-2025 Negeri Sarawak semalam.
Menyentuh mengenai perpaduan, katanya, semangat saling hormat and menghormati di antara satu sama lain adalah kunci terhadap kewujudan masyarakat yang bersatu padu.
“Misalnya di dalam masyarakat mazmuk seperti negeri dan negara kita, apa yang penting adalah sifat menghormati di antara satu sama lain. Justeru, Rukun Negara yang pertama, Kepercayaan Kepada Tuhan adalah tunjang utama di dalam menyatupadukan masyarakat kita. Kita tahu Tuhan itu dipanggil dengan nama berlainan oleh sesetengah kaum atau mengikut kepercayaan masing-masing. Kepercayaan kepada Tuhan adalah segala-galanya,” ujarnya.
Dan prihal pencipta itu, katanya, amat dirasai semasa kita menghadapi krisis Covid-19 ini yang mana pandemik ini tidak boleh dilihat dan hanya mengharap pelindungan daripada Tuhan, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak yang berkuasa.
Selain itu, Yussibnosh juga mengulas panjang lebar mengenai Rukun Negara yang seterusnya, 1 hingga 4, dan menganggap ia amat penting sebagai panduan masyarakat yang berwarna-warni latarbelakang untuk hidup aman dan damai.
“Maka, saya percaya Rukun Negara telah menyumbang kepada keamanan dan harmoni yang dinikmati oleh kita semua selama ini, rakyat Sarawak dan Malaysia, amnya. Kelima-lima rukun negara bukan hanya dijadikan sebagai panduan malah diperaktik di dalam kehidupan harian kita, “kata Yussibnsoh lagi.
Dan dia amat mendukung dan bersetuju dengan inisiatif PTPN 2021-2025 kerana ia melibatkan seluruh lapisan masyarakat bukan hanya penggubal polisi atau undang-undang sahaja.
“Saya berharap penduduk tempatan kita untuk menggunakan wadah ini sebaik mungkin di dalam memberi pandangan yang bernas demi untuk kebaikan semua. Kita bersyukur kerana diberi peranan untuk menentukan masa depan negara kita sendiri dan kita harus faham bahawa masyarakat progresif juga membangun berdasarkan norma baharu. Contoh yang paling baik adalah sekarang ‘kita perlu mengadaptasikan norma baharu’ akibat covid-19, dan begitu juga negeri kita membangun dengan alaf baharu seperti mengadaptasikan teknologi baharu dan sebagainya,” tambahnya.
Antara yang hadir pada program yang diadakan di Dewan Suarah Mesra Mukah itu ialah Mohd Hafizul Rahman Nordin mewakili Residen Bahagian Mukah, Pegawai Perpaduan Pejabat Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Mukah, Lau Siew Yen, Pegawai Daerah Mukah, Shafrie Saili dan Koperal Mohd Sahrizal yang mewakili Ketua Polis Daerah Mukah.
Antara pengisian adalah Tayangan Video Pengenalan dan Penerangan Asas PTPN 2021-2025, Sesi Pandangan Awam dan Sesi Kuiz PTPN.
Oleh Henry B Siyu