Oleh Lokman Hakim
EDGAR ALLAN POE pernah menyatakan bahawa kelebihan sebuah cerpen ialah kependekannya sekali gus membolehkan ia dibaca sekali harung dalam waktu singkat. Dalam erti kata lain, pengarang cerpen boleh menentukan impak yang dikehendakinya ke atas pembaca melalui cerpen yang dikarang tersebut.
Membaca cerpen “Cemar” tulisan Asyraff Jamin menemukan suatu gagasan falsafah gastronomi yang bertunjangkan propaganda kehebatan Melayu. Kelihatannya pengarang pintar menggunakan resmi Melayu menyampaikan teguran dengan cara lembut dan tidak biadab sama sekali.
Pertama sekali, jelas cerpen ini ditulis tanpa menitikberatkan kehalusan pengucapan yang lazimnya hanya boleh terbentuk setelah melalui pengalaman penulisan yang panjang. Pengarang melihat keperluan untuk memperkenalkan watak-watak secara autobiografikal dalam satu lajur kronologi bak resume yang mengungkapkan persahabatan yang terbentuk sejak dari sekolah berlanjutan ke universiti.
Dari sudut penyampaian yang berkesan, kaedah pengarang yang tersusun secara kronologikal menceritakan watak-wataknya amat tepat menyampaikan maksudnya. Namun, harus diingatkan bahawa cerpen ialah naratif kreatif. Maka saya ingin memetik salah satu perenggan dalam cerpen tersebut dan cerakinkan ia semula dalam bentuk yang lebih segar dibaca:
“Fazira orangnya sangatlah kreatif dan gemar berinovasi. Mungkin kerana itulah perniagaan yang dijalankannya itu mendapat sambutan yang begitu menggalakkan. Sikap berani mencubanya yang disulami dengan kreativitinya telah mendatangkan hasil yang tidak disangka-sangka. Berbekalkan prinsip inovatifnya itu, Fazira telah berjaya mencipta beberapa resipi biskut, kuih dan kek raya baharu yang tentunya lebih sedap daripada biasa. Suhani pula orangnya tidaklah begitu kreatif dan tidak begitu berani berinovasi. Suhani lebih gemar membuat biskut, kuih dan kek mengikut resipi tradisional. Katanya dia lebih suka menikmati rasa biskut-biskut, kuih-muih dan kek-kek yang asli. Pun begitu, perbezaan ini tidaklah mengganggu perniagaan mereka sebaliknya menjadikan perniagaan mereka menjadi serba lengkap dengan menawarkan pilihan aneka biskut, kuih dan kek yang pelbagai. Baik moden mahupun tradisional.”
Saya membayangkan teks di atas ditulis menggunakan babak khusus yang menerangkan sifat kreatif dan gemar berinovasi Fazira yang berbeza dengan Suhani yang konvensional dan mengutamakan tradisi. Sebagai contoh, kita boleh menciptakan suatu babak yang memperlihatkan Suhani sedang menekuni kerja-kerja pembikinan makanan tradisional apabila Fazira tiba-tiba masuk ke dalam dapur lalu memberikan pendapatnya terhadap alternatif moden untuk makanan tradisional yang Suhani sediakan itu. Konflik boleh dicetuskan melalui pertelagahan kecil demi menggambarkan perbezaan pendapat.
“Tengahari baru menginjak Zohor. Suhani sudah tekun mengerjakan resepi kuih koci untuk disedekahkan ke masjid untuk moreh malam nanti. Tiba-tiba dia disergah. Melatah juga Suhani dibuatnya.
“Tengah buat apa tu?” Rupa-rupanya Fazira empunya angkara. Sudahlah sergah tak bagi salam, boleh pula terus bertanya macam orang tak ada adab.
“Kuih koci. Hei, kau ni kalau masuk rumah orang tu bagilah salam. Terjah macam rancangan Melodi, mahu luruh jantung aku, kau tahu tak?”
Tanpa mempedulikan bebelan Suhani, Fazira mengangkat bekas yang berisi inti kuih koci. Ditelitinya bahan-bahan yang sudah digaul rapi itu. Lalu dia bertanya:
“Apa benda kau bubuh dalam kuih koci ini, Suhani?”
“Ah, ada kelapa parut, gula melaka, gula, air, daun pandan dan tepung beras. Kenapa?”
Suhani cukup kenal gelagat sahabat baiknya itu. Senyum-senyum ada makna. Pastilah ada ideanya tersendiri mengenai kuih koci itu.
“Apa kata kita bubuh keju dalam kuih koci ni?”
Mendengar idea Fazira itu, Suhani langsung menjegilkan matanya.
“Aku tepek muka kau dengan doh kuih koci ni nak tak? Nak? Jangan mengarut.”
Jika lihat contoh di atas, saya cuba untuk menghidupkan lagi watak-watak Suhani dan Fazira dengan dialog yang lucu-lucu dengan reaksi yang lebih bersahaja. Perkara yang mahu ditekankan di sini ialah keperluan pengarang untuk mewujudkan karakter multidimensi untuk setiap watak supaya naratifnya tidak kejung dan lesu.
Pergerakan ceritanya agak lancar dan tersusun. Meskipun pembaca boleh dilesukan dengan naratif yang agak mendatar dan kontang emosi, tetapi sifat kronologikal penceritaan memudahkan pemahaman. Elemen kritikan sosial yang tidak lagi menggunakan peranti analogi ataupun metafora kelihatan jelas bahkan ia seolah-olah narator sedang membebel pula:
“Sudahlah jalannya sempit, orang ramai pula sesuka hati meletakkan kereta di tepi-tepi jalan, maka bertambah-tambahlah sesaknya. Pihak berwajib pun entahlah, saban tahun masalah sebegini berlaku, tetap tiada penyelesaiannya.”
Elemen kritikan sosial yang dilontarkan melalui kaedah bebelan secara langsung oleh narator ini boleh diperindah seandainya kesesakan jalan raya akibat lambakan orang memarkir kenderaan tanpa pantauan digambarkan melalui kesusahan watak-watak utama mendepani isu itu. Pembaca akan lebih menghargai pengalaman pembacaan seandainya diterapkan babak-babak seperti Suhani dan Fazira hampir-hampir berlanggar akibat kenderaan yang tidak diparkir sewajarnya, ditambah lagi perasaan cemas yang menyelangi keadaan menggemparkan itu. Saya cuba menggambarkan situasi itu supaya kalian lebih jelas dengan apa yang saya maksudkan itu:
“Eh, eh. Elok-elok bawa motor tu, Fazira! Kereta banyak yang parkir sesuka hati ni.”
Terkial-kial juga Fazira cuba menyusup di antara beberapa kenderaan yang mulai perlahan. Hampir-hampir mereka terjatuh apabila sebuah kereta tiba-tiba membelok masuk untuk parkir di bahu jalan.
Situasi yang dilalui Suhani dan Fazira dalam cerpen ini – bergerak ke bazar Ramadan, balik membeli makanan dalam kuantiti yang banyak lalu berbuka bersama-sama ibu tersayang (Fazira) merupakan suatu babak realisme yang amat sulit dituliskan dek kerana ia bukanlah suatu pengalaman yang asing bagi sejumlah besar warganegara Malaysia. Ketidakcermatan menggarapnya dengan naratif kontang emosi akan cenderung menjemukan pembaca. Kerana itu saya amat menyarankan supaya sebarang komentar bersifat kritikan sosial dalam babak yang terlalu biasa pengalamannya itu diolah secara organik melalui dialog atau perbuatan watak-wataknya bagi menghasilkan kesan emosi dan dramatisme.
Baiklah, setelah saya menunjukkan kelemahan pengarang yang cenderung menyajikan naratif kontang emosi dan tiada dinamik hubungan sesama watak, saya ingin menunjukkan pula kekuatan pengarang yang tampak mahir dengan konsep perkataan ‘cemar’ yang dijadikan judul cerpen ini.
Jika dilihat, perkataan ‘cemar’ muncul di awalan perenggan pertama yang merupakan selingan konflik utama cerpen yang hendak dibangkitkan pada pertengahan cerita. Ibarat fungsi prolog dalam sesebuah novel, peletakan selingan konflik utama di awalan cerita itu menampakkan betapa pengarang faham keperluan untuk menghasilkan sebuah cerpen yang menangkap perhatian pembaca seawal naratif disuguhkan. Perbuatan menyelitkan perkataan ‘cemar’ dalam prolog kerdil cerpen ini merupakan suatu isyarat bahawa pengarang sudah mula memupuk gaya kepengarangannya tersendiri meskipun masih banyak ruang pembaikan yang harus diterokai.
Perkataan ‘cemar’ juga digunakan untuk menggambarkan suasana bazar Ramadan yang sepatutnya meriah dan juga suatu sumber pendapatan yang hanya muncul pada bulan puasa. Pengarang meletakkan perkataan ‘cemar’ selaku peranti kritikan sosial ke atas sikap masyarakat tika menyantuni jalan raya yang sering kali sesak setiap kali diadakan bazar Ramadan di sekitarnya.
Dan kesudahannya, pengarang meletakkan pula perkataan ‘cemar’ ke dalam konteks asal kritikan falsafah gastronomi makanan tradisional. Kebijaksanaan pengarang membina makna ‘cemar’ melalui gagasan keadaan semasa masyarakat tika bulan Ramadan menjelang diselangi arus pemodenan yang kontemporari harus dipuji.
Suka saya mahu tonjolkan di sini betapa pengarang sebenarnya berkemampuan memberi naratif bertenaga dan dialog organik antara dua orang sahabat baik melalui babak Fazira menyajikan ketupat inti keju kepada Suhani.
Kemarahan Suhani yang berasaskan kefahaman mendalamnya terhadap falsafah ketupat menampakkan sifat Suhani yang konservatif tanpa perlu dijelaskan secara terang-terangan melalui naratif seperti awalan cerpen. Dalam erti kata lain, pengarang secara sedarnya menggunakan teknik ‘show don’t tell’ di sini.
Pengarang juga tahu betapa janggalnya seorang wanita biasa yang bukannya profesor bidang gastronomi dan falsafah untuk membicarakan falsafah di sebalik sesebuah makanan tradisional. Hal kejanggalan ini dilenyapkan dengan dialog berikut:
“Eh kejap… kejap… mana kau tahu semua ini?” Fazira cuba mencari kepastian.
“Aku kan anak orang Jawa… mak aku orang Jawa… jadi aku adalah belajar sikit-sikit… termasuklah sejarah tentang ketupat ni…”
“Oh… patutlah…”
Justeru, ingin saya kemukakan di sini peri pentingnya dialog dalam menggambarkan karakter watak yang lebih manusiawi. Melalui dialog jugalah pembaca mampu meneroka sisi-sisi watak yang tersembunyi dan spekulatif yang mendorong suatu pengalaman pembacaan yang menyeronokkan. Kita boleh lihat petikan cerpen seperti berikut:
Fazira tercengang.
Suhani menambah lagi. “Ketupat ni pun ada falsafahnya… ada aturannya…”
“Aku… aku cuma nak inovasikan je… bagi nafas baharu…”
Suhani segera memotong. “Inovasi tu tak salah Fazira. Tapi janganlah buat benda mengarut macam ni. Mengarut… kau tahu tak?”
“Kenapa pula?”, Fazira menuntut jawapan.
“Itulah kau… asyik fokus dengan masakan-masakan dan resipi moden sahaja. Hinggakan pengetahuan tentang resipi-resipi dan masakan tradisi ni kau kurang ambil tahu. Makanan tradisi macam ketupat ni, ada sejarahnya tersendiri, ada falsafahnya. Kau tahu tak sejarah dan asal usul ketupat ni dari mana?”
Fazira menggeleng.
Melalui dialog ini, kita dipertontonkan suatu kritikan sosial secara halus yang cuba diterapkan pengarang, iaitu sikap golongan yang semberono ‘kreatif’ mengolah makanan tradisi hakikatnya terhasil daripada kejahilan dan juga ketiadaan jati diri dalam mendepani lambakan informasi yang tidak tertapis.
Di samping itu, ia juga suatu bentuk kritikan keras terhadap golongan yang mendambakan pembaharuan sentiasa ini. Kedangkalan mencari makna sesuatu yang sudah sekian lama bertapak dalam masyarakat (dalam konteks ini, makanan tradisional) merupakan suatu kenyataan berani yang diungkapkan pengarang – suatu tuduhan generalisasi yang agak bahaya kerana seperti yang kita sedia maklum, generalisasi sering kali membawa konotasi negatif kerana ketidaktepatannya menggambarkan sikap manusia.
Pada hemat saya, kerasnya kritikan pengarang ke atas golongan pendamba pembaharuan atau ‘nafas baharu’ terhadap apa-apa jua elemen tradisional ini suatu petanda yang baik kerana ia boleh jadi kekuatan pengarang dalam menegaskan kebenaran yang dianutinya. Ia semacam suatu arah pemikiran yang memacu pembaca dalam memahami karakter watak-watak yang meyakinkan sikapnya.
Wajar juga saya bangkitkan di sini betapa peletakan watak Suhani yang berpengetahuan banyak dalam penghasilan makanan tradisional menampakkan elemen kebijaksanaan watak. Ia suatu testimoni feminisme yang tidak lari daripada landasan agama Islam dan identiti kemelayuan.
Namun, saya rasa janggal dengan cara cerpen ini ditutup:
“Cuba kau bayangkan, kau pakai seluar putih, elok… tiba-tiba ada sesuatu kuning macam tu? Jelek bukan? Ingat Fazira, tidak semua perkara boleh dibuat mengikut kehendak kita, tak boleh dibuat sesuka hati, tak boleh dibuat sesedap rasa. Semuanya ada aturan dan ada falsafah di sebaliknya.”
Saya membayangkan suatu babak kuat yang memberi kesimpulan ke atas tindakan setiap watak mendepani ‘ketupat keju’ yang berada di depan mata. Menutup cerpen dengan dialog itu tidak salah tetapi ia harus sarat makna yang tersimpul rapi kebenarannya di fikiran pembaca. Barangkali boleh diterapkan unsur cliffhanger yang menjentik perasaan pembaca dengan elemen kejutan yang memukul rasa atau disajikan suatu penutup yang menjelaskan sikap watak terhadap kebenaran baharu yang diketahuinya itu.
Bagaimana sikap Fazira setelah diterangkan mengenai falsafah ketupat itu? Adakah dia akan membuang ketupat keju itu – suatu penyataan keras ke atas penolakan inovatif ke atas makanan tradisional? Atau adakah dia akan menghabiskan ketupat keju itu sendirian – suatu penyataan sikap angkuh menafikan falsafah ketupat yang diceritakan Suhani? Tindakan fizikal watak-watak setelah sesi ‘tazkirah’ gastronomi makanan Melayu itu pasti mengujakan kerana ia akan menghadirkan tafsiran yang pelbagai demi menggambarkan makna tersirat di sebalik tindakan fizikal yang menutup sesebuah cerpen itu.
Oleh yang demikian, saya melihat potensi pengarang dalam waktu-waktu mendatang akan terbina kerana pengarang punya kerangka pemikiran segar yang amat diperlukan oleh seorang pengarang untuk terus mara ke hadapan menghasilkan karya-karya yang kuat. Benar, cerpen “Cemar” ini masih dicemari kelemahan-kelemahan naratif kontang emosi yang sebenarnya boleh diperhalusi pengarang sekiranya fokusnya tidak sekadar terarah pada matlamat memperkenalkan pengetahuan tentang falsafah ketupat yang begitu menarik dalam sebuah cerpen.