KUCHING: CelcomDigi Bhd dan Borneo Restu Sdn Bhd telah menjalin kerjasama strategik untuk meningkatkan capaian Internet berkelajuan tinggi di seluruh Sarawak di bawah projek titik kehadiran (PoP) Fasa Kedua bagi menyokong usaha transformasi digital negeri ini.
Kerjasama itu menandakan satu kejayaan dalam projek PoP Fasa Kedua yang direka bagi meningkatkan ketersambungan di seluruh negeri, dengan tumpuan untuk memperluaskan akses Internet di kawasan pinggir bandar dan luar bandar, terutamanya ke sekolah, katanya melalui satu kenyataan bersama hari ini.
“Akses digital yang dipertingkatkan akan memperkasakan komuniti dengan membuka peluang baharu bagi perniagaan, memacu inovasi digital, menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan baharu, menyumbang kepada meningkatkan kualiti hidup rakyat Sarawak serta pembangunan ekonomi negeri itu,” kata kenyataan tersebut.
“Perkongsian ini merupakan satu langkah dalam pembangunan infrastruktur digital Sarawak memandangkan kami bergabung tenaga untuk memudahkan akses digital yang lebih baik, memastikan ketersambungan yang dipertingkatkan ini akan memberi manfaat kepada semua rakyat Sarawak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) itu.
Beliau menambah syarikat itu juga sedang meneroka inisiatif lain untuk mempercepatkan usaha pendigitalan Sarawak.
Pengarah Urusan Borneo Restu, Ian W Lee berkata syarikat itu bersedia dalam melaksanakan projek PoP Fasa Kedua, yang ditetapkan untuk siap menjelang penghujung 2025.
Tahun lepas, Kementerian Komunikasi memperuntukkan RM3.9 bilion untuk meneruskan pelaksanaan PoP Fasa Kedua, yang melibatkan 3,693 tapak PoP berhampiran sekolah di luar bandar.
Borneo Restu diperuntukkan RM1.08 bilion bagi membina 681 tapak PoP di seluruh Sarawak.
CelcomDigi juga merupakan sebahagian daripada projek SMART600 Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak.
“Sekarang ini, liputan 4G CelcomDigi di kawasan berpenduduk di negeri ini berada pada tahap 90 peratus, dengan penambahbaikan selanjutnya dijangka apabila syarikat mempercepatkan proses penyepaduan dan pemodenan rangkaiannya selepas penggabungan,” katanya.– BERNAMA