BATU NIAH: Pelajar merupakan tulang belakang dan pewaris kepimpinan negara pada masa depan.
Justeru adalah wajar untuk memastikan para pelajar ini mempunyai pengetahuan dan kefahaman mengenai bahaya dadah.
Dalam usaha pencegahan di institusi pendidikan, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Miri meneruskan usaha pencegahan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis, baru-baru ini.
Seramai 80 pelajar Tingkatan 4 dan 5 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subis menyertai Program Lebih Cegah! Amalan Hidup Sihat Tanpa DARVIH.
Program seumpama ini juga bantu menyedarkan pelajar dan ahli komuniti mengenai peranan dan tanggungjawab mereka dalam merancang, menggerak dan melaksanakan program dan aktiviti pendidikan pencegahan serta rawatan dan pemulihan dadah.
Program anjuran pihak pengurusan SMK Subis dengan kerjasama AADK Miri dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Subis dalam usaha Fasa pengekalan penghijauan Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) di Daerah Subis.
Dalam program itu, AADK Miri mengadakan pameran Antidadah dan sesi ceramah yang disampaikan oleh Ketua Unit Pencegahan dan Kesedaran Awam Sophia Anne Boddy Jabu.
Pada masa sama, AADK turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan pemprosesan, pembekalan, penyeludupan, penjualan dan penagihan dadah.
Oleh Adum Liu