
KOTA SAMARAHAN: Seorang penunggang motosikal berusia 25 tahun yang cedera parah dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 5, Jalan Datuk Mohd Musa pada malam Rabu disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan, DSP Barry William berkata, mangsa, menunggang motosikal Suzuki FU150 dari arah Kuching menuju ke Kota Samarahan ketika kemalangan itu berlaku kira-kira 11.30 malam pada 17 Jun.
Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan pada mulanya dihantar ke Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan sebelum dirujuk ke Hospital Umum Sarawak di Kuching untuk rawatan lanjut.
Barry berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kematian mangsa pada 4.19 petang, 18 Jun selepas satu laporan dibuat di Kaunter Aduan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut beliau, polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk meneliti rakaman CCTV di lokasi kejadian, mengesan saksi bebas dan menguruskan bedah siasat di Unit Forensik Hospital Umum Sarawak.
Motosikal yang terlibat turut dibawa ke IPD Kota Samarahan untuk pemeriksaan PUSPAKOM.
Oleh Connie Chieng