BETONG: Industri perkayuan di Sarawak digalak untuk menceburi bidang biojisim memandangkan negeri ini mempunyai sumber tenaga hijau yang besar.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha itu selaras dengan kemajuan sektor pembangunan tenaga hijau serta keberkesanan sistem biojisim.
“Kalau dari sudut kelapa sawit katakan, dibawah Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (Salcra), kita sekarang bukan sahaja sasar 10 tahun buahnya keluar tidak banyak, jadi kita tebang pokok yang lama dan tanam pokok baharu.
“Pokok sawit yang ditebang boleh dijadikan bahan api iaitu biomass (biojisim). Biojisim ini kita gunakan untuk jana elektrik.
“Maknanya ia terus mampan, memberikan pendapatan kepada pemilik kebun, ini cara baharu, mesti ada teknologi kerana biojisim ini sangat-sangat dikehendaki di dunia disebabkan iklim,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Sambutan 100 Tahun Rumah Panjang Samu, Paku dekat sini hari ini.
Abang Johari berkata, baru-baru ini beliau telah dijemput ke Singapura bagi menghadiri Persidangan Petroleum Asia Pasifik (APPEC) 2024.
“Baru-baru ini, saya telah dijemput ke Singapura untuk bercakap mengenai iklim, bercakap mengenai bagaimana hendak mengurangkan karbon, kita di Sarawak tuhan masih sayang dengan kita, cukup air, cukup hujan, cukup cahaya matahari, cukup sungai, air boleh mengeluarkan tenaga.
“Masa depan sekarang, mengikut kata saintis, tenaga yang bersih di dunia ini adalah hidrogen. Sebab itulah di Kuching terutamanya telah dibina Transit Aliran Automasi (ART) yang menggunakan hidrogen,” katanya.
Abang Johari menjelaskan hidrogen berpotensi menjadi alternatif bagi menggantikan kebergantungan kepada bahan api seperti diesel, dan penggunaan tenaga alternatif baharu itu diyakini mampu menggantikan diesel.
“Kita di Sarawak akan mencuba ART menggunakan hidrogen, Sarawak satu-satunya negeri yang mula menggunakan kenderaan yang tiada menggunakan pemandu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata ekonomi Sarawak diunjurkan terus berkembang menerusi pengeluaran tenaga lebih 10,000 megawatt (MW) menerusi empangan hidro elektriknya menjelang 2030, dan keyakinan itu mampu direalisasikan menerusi dasar ekonomi baharu yang dilaksanakan.
“Dikembangkan boleh, dari sudut negeri Sarawak kita kembangkan ekonomi kita dengan mengeluarkan tenaga. Saya fikir pada 2030 kita sasarkan pengeluaran tenaga elektrik sebanyak 10,000 (MW), kita hanya guna sekitar 6 gigawat (6,000 MW) jadi yang lain kita jual.
“Jadi kita kembangkan, saya jangkakan 2035 kita mengeluarkan 15 gigawat (15,000 MW),” katanya.
Turut hadir ialah Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; bekas Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang serta isteri Dato Sri Tan Sri Empiang Jabu; Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Dato Gerald Rentap Jabu.
Oleh ADI SAFARMAN