PENAMBANG atau pak tambang merupakan satu perkhidmatan pengangkutan air yang terkenal pada masa dahulu di Kuching. Saya sendiri semasa kecil sering menggunakan perkhidmatan pak tambang ini. Walaupun sudah ada jambatan dibina di Satok pada 1974, populariti pak tambang masih belum pudar.
Dahulu ada beberapa pengkalan atau kalan (kata orang Sarawak) menjadi kawasan menunggu untuk ke seberang. Pengalaman saya dahulu sering menunggu di Kalan Sapi dan Kalan Batu untuk berulang alik. Penduduk di Kampung Sungai Bedil dan Kampung Lintang akan menggunakan perkhidmatan pak tambang ini ke pasar basah di Kuching yang dinamakan Ceko.
Namun hari ini generasi muda mungkin sudah tidak kenal lagi Ceko ini kerana telah diroboh dan dipindahkan ke Pasar Stutong.
Perkhidmatan pak tambang ini amat penting di Sarawak pada era-era sebelum abad ini. Namun semakin pudar dengan banyak perkembangan pengangkutan moden.
Malahan pembinaan Jambatan Darul Hana memudahkan lagi penduduk berulang alik ke seberang sungai. Kini pemindahan Kampung Astana serba sedikit mempengaruhi perkembangan perkidmatan itu.
Namun demikian pak tambang pada hari ini masih lagi berfungsi terutama dengan wujudnya tarikan pelancongan di Kampung Gersik – ada gerai sempurna tempat makan dan kedai kek lapis. Oleh itu, pak tambang selain membawa penumpang dalam kalangan penduduk penduduk kampung, ia juga memberi khidmat kepada pelancong hendak ke seberang untuk melawat kampung.
Bila bermula?
Persoalan ini agak sukar dijawab iaitu bilakah perkhidmatan pak tambang ini bermula di Kuching. Apa yang boleh dikatakan bahawa kewujudan penempatan orang Melayu di Kuching memulakan perkhidmatan itu. Ini kerana kampung-kampung Melayu mula tumbuh di sepanjang Sungai Sarawak sejak sebelum kedatangan Brooke ke Sarawak.
Kewujudan bandar Kuching yang membekalkan pelbagai keperluan harian penduduk kampung memberi kepentingan perahu tambang untuk membawa penumpang dan barang. Tambahan daripada itu, Kuching memberi peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Perkembangan perkhidmatan perahu tambang ini semakin berkembang pada era pemerintahan Brooke. Pada penghujung abad ke-19 telah diwujudlkan peraturan ke atas perkhidmatan ini. Hal ini menunjukkan bahawa perkhidmatan ini menjadi keperluan di Kuching.
Peraturan
Menerusi peraturan pada 1881 antara lain menyatakan bahawa pemilik perahu penambang perlu mendaftar perkhidmatannya di mahkamah untuk mendapat lesen sah menjalankan perkhidmatan itu. Perahu tambang itu pula perlulah dinomborkan menggunakan cat putih dengan saiz yang besar.
Pemilik perahu tambang ini juga perlulah menjaga kebersihan dan keselamatan perahunya. Lampu perlu dipasang pada waktu malam jika tiada cahaya bulan. Denda berat dikenakan kepada pak tambang yang membawa lebih muatan termasuk penumpang.
Lesen itu membolehkan mereka menjalankan perkhidmatan di Sungai Sarawak termasuk juga ke Muara Tebas dan Sungai Samarahan serta anak sungainya. Bayaran mendapat lesen ini pula adalah $2 untuk satu tahun.
Jika lesen itu hilang, maka mereka boleh mendapatkannya semula dengan bayaran denda sebanyak 50 sen. Denda juga dikenakan kepada pak tambang yang tidak memperbaharui lesen itu pada penghujung tahun.
Pengenalan peraturan ini membawa kepada ramai pihak memohon untuk mendapat lesen perahu tambang. Pada separuh 1895 misalnya sebanyak 145 lesen perahu tambang dikeluarkan berbanding 138 lesen perahu tambang dikeluarkan pada separuh 1894.
Perkhidmatan perahu tambang ini semakin mendapat sambutan sehingga pemintaannya setiap tahun bertambah. Dalam separuh 1901 sebanyak 290 lesen perahu tambang dikeluarkan, manakala separuh 1902 pula bertambah kepada 300 lesen perahu tambang dikeluarkan.
Bayaran tambang
Bayaran tambang dikenakan ke atas penumpang adalah $0.01 untuk pengangkutan dari atas kapal ke daratan. Bagi kampung yang bahagian hulu dan hilir ke Court House, bayaran dinaikkan kepada $0.04. Terdapat semacam keistimewaan sesetengah tempat apabila pengangkutan ulang alik dari Si Topong (mungkin Kampung Tupong) ke Kampung Panglima Seman bayaran dikenakan adalah $0.08.
Bagi perjalanan dari Si Topong ke Sungai Tengah, Berlida, Busu dan Bau pula bayarannya adalah $0.25, $0.35, $0.50 dan $1.00 masing-masing. Hal ini menunjukkan bahawa pak tambang di Kuching ini bukan sahaja mengerakkan perkhidmatan di sekitar Kuching tetapi jauh hingga ke Bau.
Perkhidmatan pak tambang ini juga meliputi hingga ke Santubong, Muara Tebas dan Quop selain Tanah Putih dan Pending. Terdapat juga sewaan sehari untuk tambang ini. Bagi seorang penumpang bayaran yang dikenakan adalah $0.50. Tambahan orang pula dikenakan $0.10 seorang.
Fungsi pak tambang ini diluaskan juga sebagai perahu penghantar barang. Terdapat bayaran dikenakan kepada setiap barang yang dihantar kecuali yang bersaiz kecil.
Perlumbaan
Salah satu perkara menarik kepada pak tambang ini ialah ia juga dikategorikan sebagai salah satu acara lumba perahu dalam Regata Sarawak. Pada 1883 semasa berlangsung Regatta Sarawak di Kuching, perahu tambang diberi peluang untuk menyertai regata itu. Syarat utamannya adalah perahu tambang itu hendaklah mempunyai lesen.
Seorang pendayung sahaja dibenarkan untuk menyertai acara lumba perahu tambang ini dengan hadiahnya pula berupa wang iaitu tempat pertama $5, manakala tempat kedua pula adalah $3 dan seterusnya ketiga $2. Tempat keempat juga berpeluang untuk mendapat hadiah sebanyak $1.
Jaraknya pula adalah dari Kalan Batu menuju ke boya, terletak di Mungu Kubor sehingga ke titik penamat. Jumlah dan nilai hadiah diberi kepada pelumbaan bagi perahu tambang berkurangan pada Regatta 1902 dengan tiga hadiah sahaja ditawarkan.
Pemenang pertama hanya mendapat $2 dan tempat kedua hanya mendapat $1. Tempat ketiga pula hanya $0.50 sahaja. Tempat keempat digugurkan.
Perubahan
Perkhidmatan perahu tambang ini tidak pernah putus sehingga Sarawak mencapai kemerdekaan dalam pembentukan Malaysia. Terdapat kemajuan dalam perkhidmatan ini seperti penggunaan enjin mula diperkenalkan sekitar 1980an.
Tambang perahu (dari Kalan Batu ke Kalan Sapi) juga mula berubah dari sepuluh sen semasa zaman kanak-kanak saya hingga ke 30 sen sekitar 1980an. Sekitar 1980an juga perahu tambang menyertai perahu berhias yang sering dijalankan. Peranan pak tambang ini juga diabadikan dalam lagu ‘Pak Tambang’ yang menunjukkan kepentingan perkhidmatan pengangkutan air ini.
Menuju senja?
Pada hari ini perkhidmatan perahu tambang mula dicabar oleh pembangunan pengangkutan moden. Kenderaan bermotor mula menguasai pengangkutan jalan di Sarawak. Hal ini mengenepikan peranan asal pak tambang di Kuching. Tambahan lagi dengan perubahan berlaku di tebingan sungai Sarawak juga mempengaruhi perkhidmatan tersebut.
Namun demikian kecekalan pak tambang ini tidak pernah padam. Mereka mencuba untuk bersama-sama menyesuaikan diri dalam arus pembangunan. Perkhidmatan mereka mula menjadi tarikan pelancongan. Timbul persoalan tentang hal ini iaitu mampukah ia menjadi gondola seperti di Itali?
Jika ini terjadi, ia mampu mengembalikan nostalgia lampau mengenai pak tambang di Kuching.
Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Progran Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia.