
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melihat projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Kasawari di Sarawak sebagai penanda aras untuk dicontohi oleh projek CCS lain yang berpotensi di Malaysia.
Naib presiden eksekutif dan ketua pegawai kewangan kumpulan Petronas Liza Mustapha berkata Malaysia mempunyai banyak tapak simpanan berpotensi terhasil daripada medan minyak dan gas yang semakin berkurangan, yang menyimpan gas karbon dioksida (CO2) tinggi dan belum diteroka.
Justeru, katanya, syarikat itu kini sedang melihat pendekatan ekonomi menyeluruh untuk menjana hasil daripada medan gas CO2 yang tinggi, dan setakat ini, prospek kelihatan memberangsangkan.
“Kita perlu mempunyai teknologi yang betul, mengurangkan kos supaya kita boleh menjadikan bidang itu (projek CCS) sebagai penjana pendapatan berbanding kos tambahan, kemudian barulah kita boleh menjana hasil,” katanya sebagai ahli panel dalam sesi dialog bertajuk ‘Great Capital Bottleneck: Menyelaraskan Nilai, Risiko dan Pertumbuhan’ pada persidangan Energy Asia 2025, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Liza berkata, projek CCS tidak akan mampu melonjak jika ia dianggap sebagai projek kendiri.
Justeru, beliau mencadangkan projek itu disambungkan kepada rantaian nilai bersepadu sekiranya mahu melihat ia berkembang maju.
“Sebagai contoh, kemudahan gas asli cecair (LNG) terapung kami telah disambungkan pada keseluruhan rantaian nilai LNG, dari huluan hingga ke hiliran untuk terus menjanakan lagi hasil.
“CCS tidak berbeza. Ia adalah tentang keseluruhan rantaian nilai huluan jadi sebagai (projek) kendiri, mungkin ia agak sukar untuk berfungsi,” katanya.
-Bernama